Ekonomi Malaysia kembali rancak disokong dasar jelas, pembaharuan kerajaan - Amir Hamzah

Amir Hamzah. Foto Bernama
Amir Hamzah. Foto Bernama
A
A
A

MESEJ Malaysia pada Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia di Bangkok adalah jelas: ekonomi negara kini kembali rancak, disokong kestabilan politik, dasar jelas, serta pembaharuan berterusan yang mengukuhkan keyakinan pelabur di tengah-tengah ketidaktentuan global.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, faktor-faktor ini telah membantu menarik pelaburan langsung asing (FDI), sementara ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun berdepan dengan ketegangan geopolitik dan gangguan terhadap perdagangan global.

Beliau berkata, Malaysia mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 5.2 peratus sejak dua tahun lepas, dengan pertumbuhan mencecah 5.7 peratus pada suku terkini tahun ini yang mencerminkan daya tahan industri negara serta peranan berterusannya dalam rantaian bekalan global.

"Mesej paling utama yang ingin disampaikan Malaysia ialah ekonomi kita kini kembali rancak,” katanya kepada Bernama di luar mesyuarat tersebut.

Amir Hamzah mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tahunan itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kebangsaan Queen Sirikit, Bangkok, dari 12 hingga 18 Oktober.

Beliau berkata, Malaysia turut menunjukkan komitmennya terhadap disiplin fiskal dan tadbir urus yang baik melalui pelbagai pembaharuan, termasuk Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan.

"Perundangan lanjut yang merangkumi subsidi serta perusahaan berkaitan kerajaan akan memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti.

"Pembaharuan ini penting bagi meyakinkan pelabur bahawa dasar dan institusi Malaysia semakin kukuh dan mampan, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap prospek ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, keyakinan pelabur turut dicerminkan menerusi penerbitan sukuk global Malaysia baru-baru ini bernilai AS$1.5 bilion (AS$1 = RM4.08), yang menerima lebihan langganan sebanyak 4.7 kali ganda serta memperoleh harga kompetitif.

Artikel Berkaitan:

Amir Hamzah berkata, kerajaan memberi tumpuan untuk memastikan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada pendapatan serta peluang yang lebih baik bagi rakyat Malaysia, melalui gaji yang lebih tinggi, pembangunan kemahiran, dan penyertaan lebih meluas perniagaan tempatan dalam rantaian bekalan.

Beliau menjelaskan Malaysia turut menerima pakai kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti, memodenkan perkhidmatan awam, serta mewujudkan pekerjaan yang bernilai lebih tinggi, di samping memastikan pelaburan baharu terutamanya dalam pusat data menjana manfaat yang lebih besar kepada ekonomi domestik.

"Dunia melihat sendiri perkara ini, malah sangat kagum Malaysia mampu melakukan semua ini, yang bermaksud pelaburan langsung asing (FDI) masuk dengan begitu kukuh,” katanya.

Amir Hamzah berkata, mesyuarat tahunan tersebut menyediakan platform penting bagi Malaysia untuk mempamerkan kemajuan ekonomi negara, mengukuhkan keyakinan antarabangsa, serta mempelajari perkembangan global untuk membantu mempercepat pembaharuan dalam negara.

Beliau berkata, matlamat utama adalah untuk membina ekonomi yang lebih kukuh dan berpendapatan tinggi dengan manfaat pertumbuhan dapat dikongsi secara lebih meluas dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk generasi akan datang. - Bernama

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!