Kerjasama strategik TNB, Pelabuhan Tanjung Pelepas langgan 16 GWh tenaga hijau sebulan

KUALA LUMPUR - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) melanggan 16 gigawatt-jam (GWj) tenaga elektrik hijau sebulan menerusi kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai sebahagian usaha mengurangkan pelepasan karbon operasi pelabutan tersebut.
Di bawah kerjasama tersebut, PTP yang merupakan anggota MMC Group melanggan 16,000 blok di bawah program Tarif Elektrik Hijau (Green Electricity Tariff – GET), bagi tempoh Mei 2026 hingga Disember 2027.
Langganan tersebut menjadikan PTP pelanggan GET terbesar dalam kalangan pelabuhan di Malaysia setakat ini, selain membolehkan pelabuhan tersebut beralih kepada penggunaan 100 peratus tenaga boleh baharu bagi bekalan elektriknya.
Menerusi GET, PTP akan menerima Malaysia Renewable Energy Certificate (mREC) yang sepadan dengan langganan tenaga hijaunya, sekali gus menyokong strategi kemampanan syarikat yang menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030, dan mencapai sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan sasaran negara.
Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Ts Shamsul Ahmad berkata, TNB kekal komited untuk membolehkan lebih banyak perniagaan menyertai peralihan Malaysia ke arah sistem tenaga yang lebih bersih dan mampan, menerusi penyediaan akses kepada penyelesaian tenaga boleh baharu yang menyokong matlamat alam sekitar serta daya saing perniagaan untuk jangka panjang.
"Kerjasama ini menjadi pemangkin penting kepada seluruh sektor maritim dan logistik ke arah peralihan tenaga, khususnya dalam menyokong usaha Malaysia mempercepat pencapaian sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050 seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
"Komitmen ini menunjukkan bagaimana perniagaan di Malaysia dapat memainkan peranan bermakna dalam memacu peralihan tenaga negara, di samping memperkukuh daya saing sektor ekonomi utama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, penyerahan simbolik sijil langganan GET disempurnakan oleh Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Kamal Arifin A Rahman, kepada Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman.
Penyertaan PTP dalam program GET memperkukuh kedudukannya sebagai hab pemindahan muatan global yang mampan, di samping menetapkan penanda aras baharu bagi penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor maritim dan logistik Malaysia.
Kerjasama tersebut turut menjadi model panduan kepada pengendali infrastruktur lain yang menggunakan tenaga secara intensif, dengan menunjukkan bagaimana perniagaan boleh memanfaatkan tenaga boleh baharu yang diperakui melalui grid sedia ada untuk mempercepat perjalanan kemampanan masing-masing.
Sementara itu, Mark Hardiman berkata, langganan tersebut bukan sekadar perjanjian kontrak, malah mencerminkan tekad PTP untuk menerajui sektor maritim ke arah masa depan yang lebih mampan.
Katanya, dengan mengintegrasikan GET dalam operasi PTP, ia mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu dan mengambil langkah penting ke arah mencapai sasaran pengurangan karbon menjelang 2030.
"Inisiatif ini membuktikan bahawa kecemerlangan operasi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar bukanlah dua perkara yang bertentangan, sebaliknya merupakan pemacu utama pertumbuhan dan daya tahan jangka panjang PTP dalam persekitaran global yang sentiasa berubah.
"Penyertaan dalam program GET membolehkan PTP menyokong secara langsung pertumbuhan penjanaan tenaga boleh baharu di Malaysia, sekali gus memastikan operasi terminal kami yang berskala besar menggunakan sumber tenaga yang lebih bersih dan hijau," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
