Pelekat, pelikat, sinar atau sirna?

A
A
A
MASYARAKAT moden hari ini terpengaruh dengan fesyen terkini yang kadang-kadang tidak sesuai dengan adat dan budaya kita. Larangan memakai pakaian yang mencolok mata telah dikuatkuasakan di beberapa negeri untuk membendung masalah ini.

Kenapa mencolok mata? Kenapa bukan menjolok mata? Persoalan ini mungkin timbul dalam fikiran pembaca. Jika kita menjolok mata, mata akan sakit dan mungkin tercedera kerana menjolok ditakrifkan sebagai menusuk, merodok sesuatu dengan alat.

Antara maksud mencolok adalah membangkitkan kemarahan orang yang melihat, menyakitkan hati dan memberi malu. Orang yang melihat perbuatan mencolok mata ini mungkin akan sakit hati, marah dan malu. Walaupun mata yang melihat namun yang sakitnya bukan di mata tetapi di hati.

Ikut resmi padi semakin berisi semakin tunduk membawa pandangan dan pemikiran yang menarik dalam aspek makna. Perkataan resmi membawa pengertian sifat semula jadi atau tabiat. Daripada pemerhatian dan pemikiran kritis, resmi padi dijadikan teladan yang boleh dicontohi oleh manusia.

Penggunaan resmi kadang-kadang dikelirukan dengan perkataan rasmi. Rasmi bermaksud disahkan, ditentukan, diisytiharkan oleh kerajaan, pihak yang berkuasa, jabatan dan lain-lain. Contohnya, bahasa rasmi, ejaan rasmi, pakaian rasmi dan sebagainya. Resmi dan rasmi bunyi dan ejaannya hampir sama tetapi membawa maksud yang berbeza.

Penggunaan pelekat amat popular suatu ketika dahulu, sehingga "Kain Pelekat" pernah dijadikan tajuk lagu nyanyian Anuar dan Ellina ketika itu. Namun, mungkin disebabkan faktor-faktor tertentu penggemar pelekat semakin berkurang dan penggunaan pelekat semakin dilupakan.

Pelekat ialah kain sarung yang berjalur-jalur atau berpetak-petak coraknya. Pengguna adakala keliru untuk menggunakan sama ada perkataan 'pelekat' atau 'pelikat'. Penggunaan pelekat lebih tepat berbanding dengan pelikat kerana Kamus Dewan Edisi Keempat tidak menerangkan perkataan pelikat.

Sinar atau sirna? Bunyi dan ejaan sirna seakan-akan sama dengan sinar. Huruf yang sama, bilangan huruf juga sama cuma kedudukan huruf ‘r ’sahaja berbeza. Walaupun begitu, maksud kedua-dua perkataan ini amat berlawanan.

Sinar ialah pancaran cahaya sesuatu yang berkilau umpama pagi yang tiba bersama-sama sinar matahari, manakala sirna membawa maksud sebaliknya. Perkataan sirna berasal daripada bahasa Jawa yang bermaksud hilang, lenyap dan musnah.

Artikel Berkaitan:

Sering kita temukan perkataan sirna digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang mendatangkan kegembiraan. Contohnya, "hadirmu memberi sirna dalam hidupku”. Penggunaan sebegini sudah tentu tidak tepat dan tidak memberi maksud yang betul. Ayat yang mungkin boleh digunakan ialah “hadirmu memberi sinar dalam hidupku”.

Caj yang dikenakan terhadap pelanggan yang mengecas alat elektronik mereka adalah untuk menampung bayaran bil elektrik. Caj dan cas juga merupakan antara perkataan yang hampir sama bunyi yang sering digunakan.

Caj ialah bayaran yang dikenakan untuk sesuatu perkhidmatan atau barang yang dibeli, manakala cas dalam konteks ayat di atas bermaksud tenaga elektrik yang tersimpan di dalam sesuatu. Kekeliruan penggunaan perkataan caj dan cas mungkin timbul daripada pengaruh bahasa Inggeris.

Coretan di atas hanyalah untuk memberi gambaran tentang penggunaan perkataan yang hampir sama bunyi dan ejaan yang terdapat dalam bahasa Melayu. Selain perkataan yang dibincangkan di atas iaitu, mencolok, menjolok, resmi, rasmi, pelekat, pelikat, caj, cas, sinar dan sirna terdapat banyak lagi perkataan yang hampir sama bunyi yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu.

Perkataan-perkataan ini selalunya membawa maksud yang berbeza dengan perkataan hampir bunyi dengannya. Penggunaan secara tidak teliti akan mempengaruhi ketepatan maksud kepada perkara yang hendak disampaikan. Percayalah, bahasa yang indah ialah bahasa yang terjaga peraturan dan sistem bahasanya.

* Faizah Mohamad Nor

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka