Lelaki dihanyutkan 'kepala air' ditemukan lemas

Mayat Mohamad Shafiq Ab Llah dibawa ke darat selepas ditemukan terapung kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian. Foto: Ihsan Bomba
Mayat Mohamad Shafiq Ab Llah dibawa ke darat selepas ditemukan terapung kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian. Foto: Ihsan Bomba
A
A
A

KEMAMAN - Lelaki yang dihanyutkan arus deras atau 'kepala air' ketika mandi di Sungai Cerul, dekat Kampung Lubuk Batu pada Sabtu ditemukan lemas pada Ahad.

Mayat Mohamad Shafiq Ab Llah, 20, ditemukan terapung kira-kira 20 meter daripada lokasi terakhir mangsa dilihat.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, mayat lelaki yang berasal dari Felda Cherul 1 itu dijumpai masih lengkap berpakaian selepas usaha pencarian dilakukan hampir 24 jam.

Katanya, mayat mangsa timbul selepas pasukan penyelamat melakukan teknik olak air menggunakan bot bagi membentuk pusaran.

"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk proses pengecaman waris dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Mayat mangsa lemas di Sungai Cerul, dekat Kampung Lubuk Batu, disini ditemukan jam 5.15 petang pada Ahad. Foto: Ihsan Bomba
Mayat mangsa lemas di Sungai Cerul, dekat Kampung Lubuk Batu, disini ditemukan jam 5.15 petang pada Ahad. Foto: Ihsan Bomba

Menurut Azman, operasi mencari dan menyelamat mangsa dibantu dua ekor anjing pengesan unit K9 JBPM serta 40 anggota bomba dan polis.

Selain itu, operasi berkenaan turut menggunakan enam buah bot dan 10 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPdA).

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik dikatakan hanyut dibawa 'kepala air' selepas cuba berenang menyeberangi sungai tersebut bersama dua lagi rakannya.

Rakan mangsa, Mohd Aiman Hakim Abdul Haizam, 13 berkata, ketika kejadian, dia bersama seorang lagi rakannya, Mohd Haikal Abdul Halim, 19, berjaya menyeberangi sungai namun Mohamad Shafiq yang ketika itu berenang di belakang tenggelam dihanyutkan arus deras.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dikhuatiri lemas dihanyut kepala air