Sewa banglo untuk berparti, 13 lelaki, 7 wanita ditahan

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN- Tindakan sekumpulan remaja menyewa sebuah banglo di Taman Star Hill, Bukit Gambir di sini untuk mengadakan parti liar terbantut apabila ditahan sepasukan polis pada malam Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, seramai 20 individu termasuk tujuh wanita ditahan dalam serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan antara 17 hingga 25 tahun itu didapati sedang leka berhibur dalam parti liar tersebut ketika serbuan.

"Serbuan dilakukan pada jam 12.30 tengah malam tadi di sebuah banglo tiga tingkat di Bukit Gambir selepas menerima maklumat awam. Ketika serbuan, sekumpulan individu sedang berhibur dalam parti liar dengan alunan muzik yang kuat.

"13 lelaki dan tujuh wanita yang berada dalam banglo tersebut ditahan. Mereka ini adalah kenalan. Siasatan mendapati, mereka menyewa banglo tersebut pada harga RM800 sehari," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Katanya, hasil keterangan mereka yang ditahan, sewaan banglo itu menerusi iklan di Facebook.

"Sewa banglo dibayar oleh 13 lelaki iaitu RM70 seorang. Mereka kemudiannya menjemput tujuh rakan wanita mereka untuk bersama-sama berparti liar.

"Pemeriksaan di banglo itu menemui dadah jenis syabu, kondom serta peralatan sistem audio. Ujian saringan awal air kencing mendapati 12 lelaki dan 5 wanita positif dadah jenis methaphetamin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua yang ditahan direman empat hari sehingga 4 Ogos ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan( kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya), Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952.