Gantung operasi feri Dragon Star tidak jejas penumpang

No Image Caption
A
A
A

LANGKAWI - Perjalanan penumpang tidak terjejas berikutan arahan penggantungan serta-merta semua operasi perkhidmatan feri milik syarikat Dragon Star Shipping Sdn Bhd sehingga selesai siasatan berhubung kebakaran membabitkan sebuah daripada ferinya pada Isnin.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Laut Malaysia, Langkawi Ghadzali Ahmad berkata ini berikutan syarikat Dragon Star Shipping Sdn Bhd hanya beroperasi melibatkan sektor laluan Terminal Feri Kuah ke Terminal Feri Kuala Perlis dan Terminal Kuala Perlis ke Terminal Feri Kuah.

"Syarikat tersebut melakukan empat perjalanan sehari dari Terminal Feri Kuah ke Terminal Feri Kuala Perlis dan jumlah yang sama empat perjalanan dari Terminal Feri Kuala Perlis ke Terminal Feri Kuah.

"Biarpun operasi syarikat tersebut telah digantung pergerakan, perjalanan penumpang tidak akan terjejas kerana syarikat Ferry Line Ventures Sdn Bhd, sebuah konsortium feri melibatkan beberapa buah syarikat feri penumpang melakukan 20 perjalanan sehari melibatkan laluan Terminal Feri Kuah-Terminal Feri Kuala Perlis dan Terminal Feri Kuala Perlis-Terminal Feri Kuah mampu menampung kekurangan tersebut," katanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi feri Dragon Star digantung

Dalam kejadian Isnin lalu, feri penumpang Dragon Star 1 yang membawa 52 penumpang bersama seorang kapten dan lima anak kapal terbakar kira-kira 10 minit selepas berlepas dari Terminal Penumpang Kuah ke Jeti Kuala Perlis.

Mengulas lanjut, Ghadzali berkata sekiranya penggantungan operasi syarikat Dragon Star berlanjutan sehingga Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19), bermula 26 hingga 30 Mac ini, syarikat Ferry Line Ventures Sdn Bhd telah menyatakan kesediaan untuk menambah perjalanan feri bagi membawa penumpang.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan terkini Dragon Star 1, Ghadzali berkata pasukan penyiasat Jabatan Laut Malaysia bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta syarikat insurans masih menjalankan siasatan forensik terhadap feri penumpang tersebut yang kini ditempatkan di Jeti Jabatan Laut Malaysia Tanjung Lembong.

"Siasatan masih dijalankan, sebarang perkembangan terkini kita akan maklumkan kemudian," katanya ringkas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tinjauan Bernama di Terminal Feri Kuah mendapati pergerakan penumpang lancar tanpa sebarang gangguan perjalanan, seorang jurucakap Ferry Line Ventures Sdn Bhd berkata perkhidmatan feri terus menjadi pilihan orang ramai biarpun selepas insiden malang itu. - Bernama