X

Kindly register in order to view this article
!

Pakar perubatan bimbang demonstrasi burukkan lagi situasi Covid-19

Demonstrasi yang diadakan oleh kumpulan anak muda Sekretariat Solidariti Rakyat di Dataran Merdeka di sini pada Sabtu.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pakar perubatan melahirkan kebimbangan bahawa tindakan sesetengah pihak menganjur dan menyertai perhimpunan atau demonstrasi ketika negara sedang bergelut dengan Covid-19 akan memburukkan lagi situasi pandemik di negara ini.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, ini terutama apabila Lembah Klang kini menjadi kawasan hotspot penularan kes baharu Covid-19.

“Dalam situasi demonstrasi, adalah amat sukar untuk mereka (peserta) mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka pada setiap masa, selain terdapat juga kemungkinan mereka akan berkongsi bekas minuman dan lain-lain.

“Jadi, dengan varian baharu Covid-19 seperti Delta yang mudah sekali berjangkit dan terdapat pula pengumpulan ramai di sesuatu tempat, maka boleh berlaku kemungkinan penularan baharu,” katanya pada Sabtu.

Dr Zainal Ariffin berkata demikian sebagai mengulas demonstrasi yang diadakan oleh kumpulan anak muda Sekretariat Solidariti Rakyat di Dataran Merdeka di sini, hari ini, kononnya untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan gagal menangani wabak Covid-19 negara.

Mengulas lanjut, Dr Zainal Ariffin berkata, berdasarkan statistik setakat Rabu lepas (28 Julai), sebanyak 199 kes varian Delta sudah dilaporkan dalam negara, dengan Sarawak mencatatkan 93 kes, Selangor dan Pahang (masing-masing 18), Labuan (14), Kuala Lumpur dan Johor masing-masing (11).

“Mengambil kira faktor ini, saya fikir adalah sangat logik untuk pihak berkuasa tidak membenarkan sebarang perkumpulan beramai-ramai.

"Mana-mana pihak yang terlibat ini sepatutnya masih boleh menyuarakan pendapat mereka melalui platform lain yang lebih bersesuaian antaranya melalui penggunaan media sosial," tambahnya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Johor, Dr Ng Kim Fong berkata, beliau tidak terkejut sekiranya kes baharu Covid-19 melebihi ramalan awal Kementerian Kesihatan iaitu sebanyak 24,000 kes sehari pada September ini.

“Pastinya jumlah itu akan menjadi tinggi lagi dan ini memungkinkan tempoh lockdown (sekatan pergerakan) yang lebih lama untuk rakyat Malaysia.

“Oleh itu, atas apa pun alasan, rakyat kena melihat sudut kesihatan dalam setiap tindakan mereka. Bantu petugas kesihatan dan doktor mengawal situasi Covid-19 kerana kebanyakan katil di hospital Lembah Klang kini sudah penuh, menunjukkan keadaan semakin tenat,” katanya yang kini ditugaskan sementara di Hospital Serdang.

Dalam pada itu, di laman Facebook, Pengerusi Keilmuan Nasional, Zamri Mohd Isa yang pernah menjadi bekas pesakit Covid-19 kategori lima di Hospital Serdang, mengecam tindakan mereka yang menyertai demonstrasi berkenaan.

“Saya melihat himpunan #lawan yang diadakan pada hari ini adalah satu tindakan mereka yang tidak bijak kerana boleh mencetuskan satu kluster besar Covid-19.

“Pada saya untuk mengubah kepimpinan negara hari ini, biarlah kita serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Ahli Parlimen mengikut Perlembagaan Negara,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan baju hitam penuhi sekitar Dataran Merdeka


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!