MAFI perkenal ternakan udang dalam sawah

Ronald melepaskan anak udang di dalam kawasan pertanian integrasi melibatkan tanaman padi dan ternakan udang di Seberang Perak, pada Sabtu.
Ronald melepaskan anak udang di dalam kawasan pertanian integrasi melibatkan tanaman padi dan ternakan udang di Seberang Perak, pada Sabtu.
A
A
A

PASIR SALAK - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperkenalkan projek rintis pertama integrasi tanaman padi dan udang galah dalam sawah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, projek tersebut dilaksanakan di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak dengan kerjasama syarikat Thirty Three Management Sdn Bhd untuk meningkatkan pendapatan pesawah.

Menurutnya, pesawah yang terlibat dalam projek tersebut dijangka mendapat pulangan dianggarkan melebihi RM10,000 dengan jualan hasil padi dan udang galah bagi keluasan satu hektar berbanding hanya RM5,000 dengan purata hasil padi dengan keluasan yang sama.

"Projek ini juga akan menambahkan pendapatan kepada pesawah yang akan diusahakan selama tiga bulan, dan udang galah selama lima bulan sebelum hasil dituai.

Ronald (dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai pertanian integrasi melibatkan tanaman padi dan ternakan udang di Seberang Perak, pada Sabtu.
Ronald (dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai pertanian integrasi melibatkan tanaman padi dan ternakan udang di Seberang Perak, pada Sabtu.

"Projek rintis ini melibatkan keluasan satu hektar lebih dengan pembahagian 70 peratus tanaman padi dan 30 peratus ternakan udang galah," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan tanaman padi menerusi kaedah Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Felcra Seberang Perak, di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama pada program itu, Timbalan Menteri MAFI l, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri MAFI ll, Datuk Che Abdullah Mat Nawi; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd dan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Azman Mahmood.

Ronald berkata, berdasarkan taklimat yang diberikan oleh pihak syarikat yang mengendalikan projek integrasi tersebut, hasil pendapatan udang galah itu merupakan satu unjuran menguntungkan pesawah yang terlibat dalam pertanian integrasi ini.

Projek rintis tersebut ujarnya, akan dipantau bagi melihat kesesuaian serta keberkesanan dari segi hasil dan sebagainya.

Katanya, jika dapatan hasil projek rintis tersebut memberangsangkan, ia akan diperluas ke kawasan lain yang dicadangkan iaitu kawasan IADA Pekan dan IADA Rompin, Pahang.