X

Kindly register in order to view this article
!

Hamizul
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan rasuah lebih mudah terjadi di institusi yang mempunyai autoriti atau kuasa.

Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hamizul Abdul Hamid berkata, situasi itu sekali gus memperlihatkan bahawa golongan yang berkuasa itu seolah-olah mudah terjebak dengan rasuah.

“Saya juga berkeyakinan punca rasuah berlaku kerana ketamakan manusia kepada kekayaan dan kekuasaan. Rasuah berlaku kerana nafsu.

“Jadi ubatnya ada dua. Pertama ketakwaan dan kedua hukuman. Orang bertakwa takut dosa untuk rasuah. Orang yang tak takut dengan dosa pula, takut dikenakan hukuman yang berat di dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Hamizul berkata, berdasarkan sejarah, pada zaman Nabi Muhammad SAW ada dua golongan iaitu ada yang miskin dan kaya tetapi umat ketika itu bebas rasuah.

“Jadi, kena didik diri dengan disiplin iman dan takwa. Beramal dengan sifat mahmudah. Misalnya qana’ah iaitu sifat berpada-pada dengan apa yang ada.

“Maka tidak adalah ketamakan dan kedengkian yang meluap-luap sehingga membuka pula pintu-pintu kejahatan termasuk sanggup merasuah demi meraih matlamat dunia,” kata beliau.

Sementara itu, beliau menyifatkan amalan menggunakan ‘kabel’ atau ‘orang dalam’ ibarat tangan-tangan ghaib yang mempermudah urusan.

Katanya, ia tidaklah 100 peratus salah selagi tidak menongkah hukum syarak dan undang-undang.

“Misalnya seseorang yang memang ada kelayakan yang cukup, maka kabel boleh bantu untuk beri laluan lebih mudah, bukannya jaminan mesti menang (tender) atau mesti lulus. Hakikatnya untuk menang atau lulus, tetap kena ikut laluan yang betul.

“Tak boleh ‘sailang’ orang lain. Tak boleh cantas orang yang lebih layak. Ini okey.

“Sistem kabel jadi salah apabila menggunakan kedudukan untuk memberi kepada orang yang sememang tidak layak seperti beri tender kepada orang yang bukan ahli. Beri jawatan kepada orang yang tidak kompeten. Beri kelulusan kepada yang sah gagal.

“Akhirnya ia merosakkan dirinya dan juga orang lain. Ini adalah sistem yang salah,” ujar Hamizul.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!