X

Kindly register in order to view this article
!

Serah memorandum desak Muhyiddin, barisan kabinet dipecat

Mustapa (kanan) dan timbalannya, Dr Maimunah menyerahkan memorandum di Istana Negara pada Jumaat.
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendesak pememecatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan kabinetnya.

Ketuanya, Mustapa Mansor berkata, pembatalan Ordinan Darurat tanpa mendapat perkenan Seri Paduka Baginda adalah satu tindakan tidak menghormati Raja Berperlembagaan dan bercanggah dengan sistem Demokrasi Berparlimen.

Menurutnya, disebabkan itu, tindakan tegas perlu diambil ke atas PM dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai pengajaran kepada rakyat pada masa akan datang.

"Kami sebagai badan masyarakat madani terkejut dan dukacita dengan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang sengaja dan terancang tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan sepenuhnya di Parlimen seiring dengan perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Kami juga amat kesal apabila pembatalan Ordinan-ordinan Darurat sebagaimana diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, 26 Julai lalu di Parlimen masih belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda," katanya selepas penyerahan memorandum ketujuh, disokong 40 badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Istana Negara pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, Muhyiddin dan barisan kabinet perlu berundur secara terhormat serta-merta dan berharap Seri Paduka Baginda dapat memastikan proses pelantikan PM baharu melalui sistem sokongan majoriti di Parlimen bersesuaian dengan prinsip demokrasi.

"Sebarang bentuk manipulasi politik, tidak bermoral dalam pelantikan PM perlu dipastikan tidak berlaku lagi. PM yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen akan mampu membawa Malaysia keluar dari kemelut politik, ekonomi, sosial dan kesihatan dalam masa terpantas.

"Kami setia berada di belakang Yang di-Pertuan Agong dan ketegasan Seri Paduka Baginda memberi pengajaran kepada semua ahli Parlimen dalam memenuhi sumpah jawatan dan taat setia kepada Tuanku," katanya.

Antara nama pemimpin yang turut didesak untuk meletak jawatan termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Takiyuddin; Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Selain itu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan timbalannya, Datuk Mohd Rashid Hasnon turut didesak dipecat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!