X

Kindly register in order to view this article
!

'Pemain Perak FC II tidak fokus'

Antara aksi pertemuan Perak FC II menentang Kelantan United dalam aksi Liga Premier di Stadium Perak. - Foto Perak FC
A
A

PENGENDALI Perak FC II, Syamsul Mohd Saad menyifatkan kekalahan 0-4 di tangan Kelantan United dalam aksi Liga Premier di Stadium Perak pada Rabu, sebagai satu keputusan yang tidak boleh diterima.

Beliau berkata, tiga gol yang dihasilkan Kelantan United pada babak pertama perlawanan itu adalah kesilapan individu dan kegagalan para pemainnya mengawasi barisan serangan lawan yang diketuai penyerang import dari Gambia, Alfusainey Gassama.

"Tiga gol yang kita lepaskan itu adalah kesilapan individu dan kesilapan itu juga boleh dikatakan daripada segi kemahiran. Kita dibolosi gol daripada hantaran lintang...tiga pertahanan kita yang berada di dalam kotak penalti langsung tidak awasi pergerakan penyerang lawan.

"Para pemain juga dilihat tidak fokus, kurang konsentrasi dan kerap hilang penguasaan bola. Jadi, benda ini saya rasa mungkin kena bincang balik dengan para pemain,” katanya kepada media sejurus selesai perlawanan.

Dalam perlawanan tersebut, empat jaringan Kelantan United dihasilkan oleh Syahrul Azwari Ibrahim pada minit ke-9, Alfusainey minit ke-19 dan 22 serta Mohamad Qayyum Marjoni Sabil pada minit ke-47.

Kemenangan itu juga membolehkan Kelantan United menduduki tangga kelima liga dengan mengumpul 19 mata daripada 13 perlawanan manakala Perak FC II pula sekadar menghuni kedudukan kedua tercorot dengan 10 mata selepas 12 perlawanan.

Syamsul berkata beliau berharap para pemain sedar dengan kesilapan yang dilakukan kerana jika tidak diperbetulkan ia akan menyebabkan impian mereka untuk beraksi bersama Perak FC dalam Liga Super sukar untuk dicapai.

"Para pemain kena ingat ini adalah skuad pembangunan untuk membuka jalan kepada mereka beraksi dengan pasukan utama (Perak FC). Jika sikap atau kesilapan sepertimana dalam perlawanan ini diteruskan, saya fikir ia amat tidak baik untuk perjalanan karier pemain itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, pengendali Kelantan United Nazrulerwan Makmor berkata, faktor pengalaman menjadi penyumbang kepada kemenangan kelabnya terhadap skuad muda The Bos Gaurus.

Bagaimanapun, bekas pemain pertahanan kebangsaan itu menegaskan masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki sebelum meneruskan aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) II di gelanggang lawan pada 1 Ogos ini.

"Kami akan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang kami ada dan kami harap keputusan positif akan berjaya dicapai pada perlawanan itu nanti,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!