X

Kindly register in order to view this article
!

Usul percaya wajar dikemukakan: Aziz Bari

Dr Abdul Aziz Bari
A
A

IPOH - Parlimen sewajarnya mengizinkan usul percaya dikemukakan ekoran pembatalan secara tiba-tiba Ordinan Darurat dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin lalu.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari berharap Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun tidak mencari helah untuk menyekat usul berkenaan.

Katanya, Speaker Dewan Rakyat juga tidak harus menyalahgunakan kuasa dalam mengendalikan mesyuarat untuk menyekat rutin Perlembagaan.

"Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan rasa dukacita terhadap perkara yang berlaku di Parlimen pada hari berkenaan. Apa yang penting daripada kenyataan tersebut ialah komitmen Seri Paduk Baginda kepada konsep Raja Berperlembagaan.

"Bagaimanapun, Seri Paduka Baginda kecewa dengan sikap kerajaan dalam menangani isu berkenaan. Sebagai Raja Berperlembagaan, baginda ada peranan dan tidak harus diketepikan begitu sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar kemuka usul undi hilang percaya terhadap Muhyiddin

Abdul Aziz berkata, agak jelas bahawa pentadbiran Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan tidak menghormati kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dalam kenyataan pada Khamis menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri kabinet meletakkan jawatan kerana melanggar Perlembagaan dan menderhaka Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Perkara 150 (2B) dibaca sekali dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada baginda.

"Peguam Negara juga perlu bertanggungjawab meletak jawatan kerana dengan terang ingkar titah Seri Paduka Baginda agar Ordinan Darurat di bentang dan dibahaskan di Parlimen tetapi tidak berlaku.

"Perdana menteri serta seluruh menteri kabinet termasuk Speaker Dewan Rakyat dengan sengaja mempamerkan ketidaksetiaan kepada raja dan negara, melanggar keluhuran Perlembagaan dan membelakangkan kedaulatan undang-undang serta secara terang telah memalukan nama baik negara di peringkat global," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!