Judi: 21 warga tempatan ditahan

No Image Caption
A
A
A

KLUANG - Dua puluh satu warga tempatan ditahan kerana terlibat dengan pelbagai kegiatan perjudian haram di sekitar daerah ini sejak Op Limau 2019 dilaksanakan pada 15 Januari hingga 24 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, sepanjang operasi berkenaan dijalankan, dua serbuan telah dilakukan melibatkan tangkapan seramai 19 lelaki dan dua perempuan tempatan berusia lingkungan 28 hingga 79 tahun.

Katanya, kedua-dua serbuan berkenaan dilakukan di sebuah kedai minuman dan sebuah bengkel membaiki kenderaan di daerah itu.

“Melalui serbuan yang dijalankan, pihak polis telah berjaya merampas wang tunai sebanyak RM3,725, tiga meja empat segi, sembilan kerusi plastik, enam biji dadu, 342 batu mahjong dan 225 chip pelbagai warna.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 serta penjara sehingga lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Mohd Abduh lagi, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina, pihaknya turut melaksanakan beberapa operasi lain serentak dengan Op Limau iaitu Op Lejang, Op Pintu dan Op Cantas.

Melalui Op Lejang, sebanyak 19 serbuan dilakukan dan telah berjaya menahan 21 suspek tempatan selain membuat rampasan pelbagai jenis komponen kenderaan yang dipercayai dicuri seperti satu rangka motosikal, satu enjin motosikal dan beberapa peralatan meleraikan komponen kenderaan.

Turut dirampas ialah tujuh motosikal dipercayai motosikal curi.

Artikel Berkaitan:

“Bagi Op Pintu pula, 35 penduduk tempatan dan tiga warga asing ditahan kerana terlibat dengan kes pecah rumah. Beberapa barangan telah dirampas seperti empat motosikal, tiga kereta, tiga telefon bimbit, barang kemas dan pelbagai jenis peralatan pecah rumah," tambah beliau. - Bernama

Selain itu, Op Cantas (curi dalam kenderaan) membawa kepada penahanan tujuh penduduk tempatan berusia 19 hingga 42 tahun.

Dengan penahanan itu, pihaknya percaya telah berjaya menyelesaikan 13 kes kecurian dalam kenderaan di daerah itu.

Sementara itu, Op Cantas (samun berkawan dan ragut) pula, enam warga tempatan berumur 17 hingga 32 tahun ditahan bersama beberapa peralatan untuk menyamun seperti sebuah motosikal, sebilah pisau lipat dan dua bilah parang.

Dengan tertangkapnya kumpulan itu, polis percaya dapat menyelesaikan dua kes samun berkawan serta satu kes ragut di daerah Kluang, katanya.