X

Kindly register in order to view this article
!

Cadang perluas PPV bergerak di sektor ladang

A
A

KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bercadang memperluaskan lagi Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (Vacoms) menerusi Program Pemberian Vaksin (PPVIN) secara bergerak dalam tempoh terdekat.

Ketua Setiausahanya, Datuk Ravi Muthayah berkata, pihaknya masih menunggu permohonan secara rasmi daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), sebelum perkara itu dibincangkan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk membuka lebih banyak PPVIN bergerak di sektor perladangan di seluruh negara bagi membolehkan proses vaksinasi pekerja ladang dipercepatkan.

"Kita ingin membawa kemudahan PPVIN bergerak ini bagi membolehkan semua pekerja perladangan selaku nadi sektor pertanian negara diberi peluang mendapat suntikan vaksin," katanya pada sidang akhbar selepas Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi di Ladang Tennamaram di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ravi berkata, pelaksanaan vaksinasi secara bergerak di sektor perladangan itu nanti akan dilaksanakan secara usahasama dengan Poliklinik Sri Prima.

"Mungkin kita dapat memberikan vaksin secara bergerak ini kepada 100, 200 atau 300 individu di setiap ladang. Pemberian vaksin bergerak ini merupakan kaedah paling selamat dan mudah berbanding orang ramai bergerak ke tempat vaksin.

"Selain itu, ia lebih menjimatkan kos dan lebih pantas serta tidak melibatkan ramai orang selain lebih bersasar," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPOA, Datuk Nageeb Wahab berkata, pemberian vaksin secara bergerak di sektor perladangan dijangka mampu memanfaatkan seramai 165,000 ahli MPOA.

Ujarnya, pelaksanaan vaksinasi itu diharap memberi tumpuan di negeri yang mempunyai kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi.

"Program permulaan PPV bergerak ini dijangka akan bermula di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!