Syarikat mengaku salah abai keselamatan hingga pekerja mati

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Sebuah syarikat pembinaan didenda RM38,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis selepas mengaku bersalah cuai dan mengabaikan aspek keselamatan hingga mengakibatkan kematian seorang pekerja, tiga tahun lalu.

Rantau Urusan (M) Sdn Bhd yang diwakili Pengarah syarikat, Lee Wei Jin didakwa atas dua pertuduhan di bawah Peraturan 5(1)(b)(aa) Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Bagi pertuduhan pertama, syarikat berkenaan didakwa gagal dengan serta-merta memberitahu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) terdekat dengan cara yang paling cepat bagi kemalangan pekerja di bawah kawalan yang mengalami kecederaan badan serius semasa sedang bekerja di sebuah projek pembinaan di Bandar Seri Iskandar dalam daerah Perak Tengah jam lebih kurang 8.15 pagi pada 28 Disember 2019.

Sabit kesalahan syarikat itu boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan kedua, syarikat berkenaan pada tarikh, masa dan tempat sama didakwa telah gagal memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja pekerja di bawah kawalan iaitu gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja mengalihkan ‘rubbish chute’ di Blok D sehingga menyebabkan kemalangan ke atas seorang pekerja.

Kesalahan itu memperuntukan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan oleh Pegawai Pendakwa JKKP, Norissham Ishak dilakukan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Norashima memerintahkan syarikat berkenaan membayar denda sebanyak RM3,000 bagi tuduhan pertama dan RM35,000 bagi tuduhan kedua dan turut menetapkan hukuman penjara masing-masing empat bulan jika gagal menjelaskan denda yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, pekerja syarikat itu, Zaffar, 39, warga Bangladesh cedera pada kepala kerana ditimpa bancuhan simen yang dibuang oleh pekerja dari tingkat 3 bangunan Blok D di projek pembinaan berkenaan.

Mangsa yang mengalami kecederaan serius di kepala disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPab) Ipoh pada jam 11.12 malam, 30 Disember 2019.

Dalam prosiding sama, dua syarikat masing-masing mengaku bersalah gagal memasang pengadang pada bahagian pemacu gegancu dan rantai (sprocket & chain) hingga mengakibatkan kemalangan kepada pekerja kawalan mereka, tahun lalu.

Tan Chee Seng Sawmill Sdn Berhad diwakili Pengarah syarikat, Tan Taik Chin didakwa menyebabkan kemalangan kepada Ahzi Aznam, 20, di tempat kerja di Lot 78 & 84 Medan Tasek, Tasek Industrial Estate, Ipoh dalam daerah Kinta jam lebih kurang jam 8.30 pagi pada 5 November 2020.

Hume Cemboard Industries Sdn Bhd diwakili Pengarah Besar, K Muralitharan pula didakwa menyebabkan kemalangan kepada P Devan, 20, di tempat kerja di Lot 127220 Kanthan Industrial Estate, Chemor dalam daerah Kinta jam lebih kurang jam 5.30 petang pada 1 November 2020.

Pertuduhan ke atas dua syarikat itu dilakukan di bawah Seksyen 15 Akta Kilang dan Jentera 1967 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan kedua-dua syarikat membayar denda RM25,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar denda berkenaan.

Kemalangan itu telah mengakibatkan Ahzi mengalami kecederaan serius pada jari manis dan jari kelingking tangan kanan akibat tersepit sementara Devan kecederaan serius pada jari kaki kiri.

Ketiga-tiga syarikat terbabit membayar denda berkenaan.