Iktibar pembatalan darurat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PEMBATALAN enam Ordinan Darurat yang diumumkan secara terperanjat pada 26 Julai, hari pertama Parlimen bersidang sejak darurat sekarang telah menjadi drama yang berpanjangan sehingga Isnin, 1 Ogos.

Terlebih dahulu saya menyambut baik keputusan kerajaan membatalkan Ordinan-ordinan Darurat ini termasuk Ordinan Darurat No 5 yang membawa kompaun RM10,000 dan RM50,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) serta Darurat No 2 yang membawa hukuman maksimum penjara enam tahun dan denda RM50,000 untuk kesalahan berkaitan berita palsu.

Tanpa pembatalan oleh kerajaan atau pengungkaian oleh Parlimen, mengikut Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan, ordinan-ordinan ini akan terus berkuat kuasa selama enam bulan selepas tamatnya darurat iaitu sehingga 1 Februari 2020.

Pembatalan atau pengungkaian ini penting kerana ordinan-ordinan itu dibuat semasa Parlimen tidak bersidang. Kerana undang-undang dibuat tanpa mengikut lunas demokrasi, maka mereka bukan sahaja mesti dibentang di Parlimen apabila ia bersidang semula, malah Perkara 150(3) memberikan Parlimen kuasa untuk sama ada menerima atau mengungkaikannya kecuali ia terlebih dahulu dibatalkan oleh kerajaan.

Nyata sekali, kerajaan memilih pembatalan oleh dirinya daripada pengungkaian oleh Parlimen untuk mengelak sebarang pengundian di Parlimen. Pengungkaian Ordinan Darurat lebih bersifat teknikal dan tidak boleh dilihat sebagai gantian undi tidak percaya. Akan tetapi jika Parlimen turut mengungkaikan Proklamasi Darurat di bawah kuasa 150(3), maka ia bermakna darurat itu dinafikan keabsahannya oleh Parlimen.

Kalau kerajaan menolak pengungkaian Proklamasi Darurat tetapi gagal, maka kekalahan itu boleh ditakrifkan sebagai kerajaan telah kehilangan majoriti. Sekurang-kurangnya kerajaan akan tertekan untuk mengemukakan usul percaya kepada dirinya.

Tidak hairanlah jika kabinet benar-benar telah memutuskan pembatalan ordinan-ordinan itu pada mesyuarat 21 Julai.

Dua persoalan penting dari segi prosedur. Mengapa ia tidak diumumkan minggu lalu? Lebih penting lagi, apakah pembatalan itu telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong sunggh pun itu cuma formaliti dalam monarki berparlimen?

Artikel Berkaitan:

Terdapat juga soalan yang lebih substantif - bilakah tarikh berkuat kuasa pembatalannya? Apakah implikasi-implikasi jika ordinan-ordinan itu terbatal sementara darurat masih berkuat kuasa iaitu dari 21 Julai hingga 1 Ogos kalau kenyataan menteri tidak berubah?

Apakah kompaun yang telah dikeluarkan pihak berkuasa mesti dibatalkan? Adakah ia menyulitkan sebarang perbelanjaan kerajaan atau operasi mengambil alih sumber swasta untuk melawan wabak?

Paling dramatik, Dewan Undangan Negeri Sarawak sudah pun habis tempohnya pada 6 Jun tetapi telah ditangguhkan kepada 1 Ogos semata-mata kerana Ordinan Darurat No 1. Kini dengan terbatalnya Ordinan Darurat itu, DUN pun terbubar pada 21 Julai dan pilihan raya mesti diadakan selewat-lewatnya pada 19 September.

Nyata sekali, drama-drama itu dapat dielakkan jika kabinet tidak cuba berpandai-pandai memerangkap pembangkang dalam persidangan Parlimen, sebaliknya duduk berbincang dengan pembangkang untuk memanfaatkan persidangan tersebut.

Cabaran lebih besar untuk kerajaan pada sidang akan datang iaitu 2 hingga 23 September. Jika titah Yang di-Pertuan Agong disediakan oleh kerajaan dan mewakili kerajaan - bukan pandangan peribadi Seri Paduka – ditolak, maka ia sama kesannya dengan undi tidak percaya. Tiada speaker yang boleh menghalang ahli Parlimen mengundi.

Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Drama kali ini memberi iktibar kepada kerajaan untuk merendah diri, lantas berunding dengan pembangkang untuk menyediakan kandungan titah Yang di-Pertuan Agong yang mewakili aspirasi kebanyakan rakyat dan bukan penyokong kerajaan semata-mata.

Jangan terseliuh kerana berlari,

Jangan bermain dalam ombak,

Kerajaan harus merendah diri,

Bersama pembangkang mengatasi wabak.

*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.