Kerajaan jamin warga pendidik diberi vaksin sebelum sekolah dibuka

Kerajaan memberi jaminan bahawa semua warga pendidikan akan diberikan vaksinasi sebelum sekolah dibuka pada September ini. - Gambar hiasan
Kerajaan memberi jaminan bahawa semua warga pendidikan akan diberikan vaksinasi sebelum sekolah dibuka pada September ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa semua warga pendidikan akan diberikan vaksinasi sebelum sekolah dibuka pada September ini.

Jaminan itu diberikan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

“Saya bersama Menteri Pendidikan memberi jaminan bahawa semua warga pendidikan akan diberikan vaksinasi sebelum sekolah dibuka,” katanya ketika menggulung perbahasan mengenai vaksinasi di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang inginkan jaminan daripada kerajaan bahawa semua guru diberi suntikan sekurang-kurangnya satu dos sebelum sekolah dibuka pada September.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan media sebelum ini berkata, sesi persekolahan untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka ditetapkan mulai 1 September ini secara berperingkat.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sehingga 27 Julai ini, seramai 303,682 atau 73.5 peratus guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu, katanya, seramai 45,197 orang (67 peratus) bagi kumpulan pelaksana yang menerima satu dos, manakala perkhidmatan sokongan kontrak pula seramai 33,633 (38 peratus).

“Bagi vaksinasi guru kelas peperiksaan Tingkatan Lima dan Enam, status kemajuan adalah menggalakkan dengan sejumlah 80,717 guru (90 peratus) telah divaksin.

Artikel Berkaitan:

"Sekolah swasta pula seramai 12,894 guru (66.8 peratus) telah divaksin di mana 4,367 guru tahun peperiksaan (58 peratus) dan 3,026 kakitangan sokongan (54 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos,” jelasnya.

Tegasnya, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang bekerjasama rapat dengan KPM dalam memastikan bilangan guru, anggota kumpulan pelaksana dan perkhidmatan sokongan kontrak yang belum mendapat janji temu dapat dikenalpasti segera bagi dibuat penjadualan janji temu.

Dalam pada itu, Khairy berkata, terdapat sebilangan guru yang menolak pemberian vaksin kepada mereka.

"Saya menyeru pihak pentadbir sekolah dapat membuat capaian kepada golongan tersebut supaya tidak tercetusnya jangkitan selepas pembukaan sekolah,” ujarnya.