Tapir jantan jatuh tebing

Seekor tapir jantan cedera kerana terjatuh dari tebing sebuah dusun setinggi lima meter berhampiran Hutan Simpan Gunung Berembun di Kampung Baharu Pantai pada Rabu. - Foto Bernama
Seekor tapir jantan cedera kerana terjatuh dari tebing sebuah dusun setinggi lima meter berhampiran Hutan Simpan Gunung Berembun di Kampung Baharu Pantai pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Seekor tapir jantan seberat 310 kilogram diselamatkan pada Rabu selepas terjatuh dari tebing setinggi lima meter di kawasan kebun di Kampung Kolam, Jalan Pantai di sini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya menerima aduan mengenai tapir yang ditemukan cedera di bawah tebing itu pada 8.10 pagi sebelum operasi menyelamat dilakukan 10 kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan bersama sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seremban.

"Siasatan awal mendapati berlaku pembinaan di jalan berkenaan. Tapir itu berkemungkinan sedang merayau-rayau di jalan itu pada waktu malam sebelum terjatuh dari tebing tersebut.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati tapir tersebut cedera pada pinggul serta kaki dan pemeriksaan lanjut sedang dijalankan" katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.

Ujar Wan Mat, kawasan kebun itu sering menjadi laluan tapir memandangkan berhampiran hutan simpan.

Tapir itu kata beliau, diberikan rawatan awal oleh pegawai veterinar Jabatan Perhilitan sebelum dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak untuk rawatan susulan. -Bernama

Artikel Berkaitan: