Ladang ternakan ayam penelur disyaki punca pencemaran diarah tutup

Premis ladang ternakan ayam penelur di Kalumpang, Hulu Selangor diarahkan tutup selama 14 hari.
Premis ladang ternakan ayam penelur di Kalumpang, Hulu Selangor diarahkan tutup selama 14 hari.
A
A
A

HULU SELANGOR - Sebuah premis ladang ternakan ayam penelur di Kalumpang di sini diarahkan tutup selama 14 hari kerana disyaki melepaskan efluen ke anak sungai menyebabkan air keruh dan berbau najis ayam.

Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dalam kenyataannya memaklumkan, operasi bersepadu jam 3.30 petang Selasa itu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menurut kenyataan itu, operasi turut disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Hulu Selangor dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Hulu Selangor.

"Operasi itu dijalankan selepas MDHS sering menerima aduan daripada penduduk dan tinjauan awal dilakukan Pegawai Kesihatan MDHS di ladang ayam terbabit mendapati aduan penduduk adalah benar.

"Pemeriksaan di dalam premis bersama pengurus ladang juga menemui kira-kira 50 kolam takungan kecil dengan keadaan air berwarna hitam dan terdapat sisa najis ayam.

"Apabila hujan akan berlakunya limpahan dari kolam tersebut yang kemudiannya mengalir ke anak sungai," kata kenyataan itu pada Rabu.

Jelas kenyataan itu, operasi turut dilaksanakan berikutan kegagalan pihak premis mematuhi arahan notis dikeluarkan oleh MDHS pada 26 April dan 14 Julai lalu.

"Kita dapati pemilik premis gagal melantik panel kontraktor di bawah pihak majlis bagi pelupusan sisa pepejal.

Artikel Berkaitan:

"Premis terbabit diarahkan ditutup bermula Selasa hingga 9 Ogos depan.

"Tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil 43(1)(a) dan (b),Undang-Undang Kecil Pelesenan dan Perindustrian (MDHS) 2007," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, MDHS akan terus melaksanakan pemantauan sepanjang tempoh notis penutupan.

"Tindakan susulan daripada jabatan teknikal terlibat akan dilakukan dari segi pelan bangunan dan lesen perniagaan bagi memastikan pihak premis mematuhi kesemua syarat teknikal daripada pihak majlis," katanya.