Rasuah dalam politik

Rakyat Malaysia dilanda demam saham pada awal tahun 1990-an. Pada waktu itu ia dikenali Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL, sekarang Bursa Malaysia).
Rakyat Malaysia dilanda demam saham pada awal tahun 1990-an. Pada waktu itu ia dikenali Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL, sekarang Bursa Malaysia).
A
A
A

PADA awal tahun 1990-an, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL, sekarang Bursa Malaysia) menggelegak dengan kegiatannya. Rakyat Malaysia dilanda demam saham. Setiap orang “main saham” ketika itu. Pemain kecil bertunggu tangga di syarikat sekuriti untuk “membuat duit mudah.” Pemandu teksi pun memberi tip untuk membeli saham yang mana.

BSKL menjadi semacam gedung judi. Pemain membeli saham dan mengharapkan nilainya naik dalam waktu terpantas. Mereka membuat keuntungan jualan kontra beratus malah beribu ringgit sehari. Bukan pasaran saham Malaysia sahaja yang rancak malah di mana-mana di kota-kota utama dunia, spekulasi pasaran saham memberikan keuntungan kepada pelabur kecil. Tidak hairanlah dekad 1990-an dianggap Zaman Tamak atau The Age of Greed.

Demikian “panasnya” pasaran saham di Amerika Syarikat (AS) sehinggakan Pengerusi Rizab Persekutuan negara itu, Alan Greenspan terpaksa membuat teguran terbuka. Kenyataan beliau tentang situasi pasaran yang dikatakan menampakkan petanda ‘keseronokan yang tidak rasional’ sedikit sebanyak menyejukkan keadaan.

Pada awal dekad 1990-an itu di Malaysia, begitu banyak syarikat yang disenaraikan termasuk syarikat GLC. Pada masa itu syarikat yang tersenarai mencatatkan premium yang tinggi.

Semua orang mengejar pink form. Ia merupakan borang permohonan saham untuk pekerja syarikat. Harga sesaham ada kalanya tidak masuk akal.

Saham sebuah syarikat membuat colok Cina boleh berharga lebih RM100 sesaham. Harga saham boleh melambung hanya dengan berita sebuah syarikat menandatangani “Memorandum Persefahaman” (MOU) dengan syarikat lain dari dalam atau luar.

Dalam situasi itulah muncul ahli perniagaan Melayu baharu melalui pemberian saham kepada mereka sebagai nominee parti. Maka lahirlah “orang kaya baharu” (OKB) dan “tokoh korporat” yang menjadi wira baharu dalam masyarakat Melayu. Anak-anak muda Melayu menjadi jutawan sekelip mata apabila syarikat yang mereka punya pegangan disenaraikan di BSKL.

Pada masa itu juga, duit melimpah di pasaran, dan kesannya dirasakan pada politik. Banyak orang politik yang menjadi kaya raya. Atau mereka didokong oleh OKB Melayu yang mendapat manfaat daripada dasar pro-Bumiputera.

Artikel Berkaitan:

Politik wang Maka itu “politik wang” menjadi fenomena baharu dalam politik Malaysia. Wang bukan sahaja untuk tujuan membeli undi. Wang membolehkan pimpinan membiayai perwakilan parti ke perhimpunan agung untuk tinggal di hotel mewah. Mereka juga diberikan duit kocek dan janji akan berpelesir ke Medan, Indonesia atau tempat lain.

Lama-kelamaan hanya yang kaya mampu menjadi ketua bahagian UMNO. UMNO seperti juga MCA, mula dilabelkan “parti tauke” atau parti peniaga.

Apabila Team Wawasan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim menang besar dalam pemilihan parti pada tahun 1993, cakap-cakap tentang politik wang menjadi semakin hangat. Ada tuduhan mengatakan bahawa kemenangan mereka “diminyakkan” oleh wang yang berlebihan.

Demikianlah hebatnya debat politik wang ini pada tahun 1993, hingga Presiden UMNO ketika itu harus mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membincangkan soal politik wang.

No Image Caption

Tiga tahun selepas Team Wawasan hampir menyapu bersih semua kedudukan penting dalam UMNO, dalam ucapan dasarnya, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun) memberi amaran bahawa politik wang akan menghancurkan UMNO. Dalam ucapan itu, Dr Mahathir merayu agar perwakilan “insaf dan sayangkan bangsa, agama dan negara” pada masa parti itu dilanda “gejala politik wang, rasuah dan salah guna kuasa.”

Kekecewaan Dr Mahathir itu berkumandang sejak pemilihan tahun 1993 lagi. Pada tahun 1996, perwakilan mendapat mesej jelas. Tiada siapa yang boleh mengesahkan siapakah yang disasarkan oleh Dr Mahathir ketika itu. Tetapi mangsa utamanya ialah orang yang mendapat kedudukan paling tinggi dalam pemilihan Naib Presiden pada tahun 1993, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Team Wawasan Bagaimanapun dua orang lain yang menjadi teras Team Wawasan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhammad Mohd Taib kekal. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) menang pemilihan Naib Presiden.

UMNO sekurang-kurangnya berani berdepan dengan isu politik wang. Walaupun ada yang mengatakan segala retorik tentang politik wang tidak lebih daripada “mengata dulang paku serpih” tetapi UMNO telah berusaha menangani isu itu.

Tiada siapa yang boleh melupakan kata-kata Dr Mahathir masa itu: “Di manakah datangnya wang yang begitu banyak. Mungkin derma kepada parti. Tetapi bolehkah wang parti digunakan untuk mempopularkan orang tertentu?”

UMNO terpaksa meminda perlembagaannya ekoran ancaman politik wang. Nampaknya itu tidak juga mencukupi. Mungkin amalan politik wang sudah berakar umbi dalam parti. Mungkin puncanya oleh sebab tidak ada mekanisme untuk check and balance sistem pembiayaan dalam politik kepartian.Ini bukan masalah UMNO sahaja. Semua parti politik punya rahsia tentang sumber dan pendapatan mereka.

Oleh sebab mereka bukan UMNO dan mereka bukan parti dominan maka perhatian atau scrutiny rakyat tidaklah sehebat ke atas UMNO. Tetapi bukan rahsia bahawa setiap parti ada isu dari segi pembiayaan politik. Cuma mungkin skalanya berbeza.

Semua parti berdepan dengan masalah integriti dalam soal wang. Tidak ada parti yang nampaknya bersih.

Kita tidak ada sistem yang membolehkan wang parti diaudit, kalau ada pun hanya pada peringkat dalaman. Wang membezakan parti. Semakin banyak wang semakin berpengaruh parti.

Memang benar ada parti yang menggunakan sistem sumbangan massa sebagai dana. Tetapi hal itu juga sudah berubah. Parti politik ada darjatnya sendiri disebabkan oleh kedudukan kewangannya. Atau begitulah tanggapan pimpinan politik sebelum Pilihan Raya Umum 2018.

*Tan Sri Johan Jaaffar salah seorang anggota Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Najib Razak pada bulan Ogos 2015. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).