Politik identiti: DAP mesti cermin diri sendiri

Kepimpinan DAP mungkin berhujah bahawa kemenangan parti itu merupakan hasil khidmat yang baik di kawasan masing-masing serta keyakinan pengundi daripada pelbagai kaum. (Foto hiasan) Gambar kecil: Mohd Azmir
Kepimpinan DAP mungkin berhujah bahawa kemenangan parti itu merupakan hasil khidmat yang baik di kawasan masing-masing serta keyakinan pengundi daripada pelbagai kaum. (Foto hiasan) Gambar kecil: Mohd Azmir
A
A
A

 

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka 2026 kembali membuka perdebatan mengenai politik identiti dalam persaingan pilihan raya di Malaysia.

Namun, perdebatan tersebut seakan-akan mengulangi naratif lama, iaitu meletakkan penyatuan sokongan politik Melayu sebagai punca kemerosotan prestasi Pakatan Harapan (PH), sedangkan tumpuan yang sebetulnya ialah tahap kebergantungan DAP kepada sokongan etnik tertentu yang selama ini menjadi asas kekuatan elektoralnya.

Barangkali sudah tiba masanya untuk mengemukakan satu persoalan yang kurang disenangi: adakah politik identiti hanya menjadi masalah dalam kalangan lawan politik DAP, atau parti itu sendiri turut bergantung pada dinamika politik yang sering dikritiknya?

Keputusan PRN Melaka memberikan titik permulaan yang menarik untuk meneliti persoalan ini. DAP berjaya mempertahankan kesemua empat kerusi yang ditandinginya. Bagaimanapun, komposisi demografi pengundi di kawasan berkenaan wajar diberikan perhatian.

Tiga daripadanya merupakan kawasan majoriti pengundi Cina, iaitu Kota Laksamana (75 peratus), Bandar Hilir (74 peratus) dan Kesidang (55 peratus). DAP mencatatkan kemenangan dengan majoriti masing-masing sebanyak 9,424, 7,857 dan 9,352 undi.

Meskipun kemenangan tersebut dicapai dengan majoriti yang besar, jumlah majoriti di Kota Laksamana dan Kesidang mencatatkan penurunan berbanding pilihan raya sebelumnya.

Kerusi keempat, Ayer Keroh pula, memperlihatkan landskap pilihan raya yang berbeza. Komposisi pengundinya terdiri daripada kira-kira 47 peratus pengundi Cina, 43 peratus Melayu dan lapan peratus India. Calon DAP, Kerk Chee Yee, berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 5,604 undi.

Perbezaan ini memberikan gambaran yang menarik. Kemenangan DAP tertumpu di kawasan majoriti pengundi Cina, manakala Ayer Keroh memperlihatkan persaingan dalam persekitaran demografi berbilang kaum yang lebih seimbang.

Artikel Berkaitan:

Mungkin persoalan urban dan perubahan sosial masyarakat urban mempengaruhi pilihan undi perlu diteliti sewajarnya.

Lebih menarik, berdasarkan anggaran awal melalui analisis ekologi pilihan raya, kira-kira 95 peratus pengundi Cina yang keluar mengundi memberikan sokongan kepada PH.

Sebaliknya, anggaran sokongan pengundi Melayu terhadap PH hanya sekitar tujuh peratus. Angka tersebut merupakan anggaran berdasarkan pola pengundian dan bukannya pengiraan langsung terhadap pilihan setiap individu. Namun demikian, dapatan ini memberikan gambaran tentang ketaranya polarisasi etnik dalam corak pengundian di negeri Melaka.

Keadaan ini menimbulkan persoalan penting terhadap naratif politik DAP. Sekiranya penyatuan sokongan pengundi Melayu kepada UMNO dan Pas ditafsirkan sebagai manifestasi politik identiti, tidakkah sokongan yang begitu dominan dalam kalangan pengundi Cina terhadap PH juga wajar diteliti menggunakan kerangka analisis yang sama?

Tidak ada alasan untuk satu pihak dikecualikan daripada penelitian, sedangkan pihak yang lain terus menjadi sasaran tuduhan politik identiti. Politik identiti bukan sekadar tindakan memainkan sentimen kaum atau agama secara terbuka ketika berkempen.

Ia juga boleh dizahirkan melalui pendirian politik, penggemblengan sentimen kebimbangan sesuatu kaum, pengukuhan kesetiaan politik berasaskan kelompok serta pembentukan naratif pilihan raya yang bertunjangkan persepsi terhadap kepentingan kaum tertentu.

Justeru, sesebuah parti politik perlu dinilai berdasarkan tindakan dan strategi politiknya, bukan semata-mata berdasarkan identiti lawan politiknya.

Bagaimanapun, pola sokongan berasaskan etnik semata-mata tidak semestinya membuktikan bahawa sesebuah parti mengamalkan politik identiti.

Sebaliknya, pola tersebut perlu diteliti bersama-sama pendekatan, strategi dan tingkah laku politik parti berkenaan.

Keputusan PRN Melaka turut mendedahkan satu lagi realiti yang perlu dihadapi oleh PH.

Anggaran sokongan dalam kalangan pengundi Melayu merosot dengan ketara, sedangkan sokongan tradisinya dalam kalangan pengundi Cina yang keluar mengundi kekal begitu kukuh.

Permasalahannya bukan sekadar penyatuan sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), tetapi juga kesukaran PH dalam membina hubungan politik yang meyakinkan dengan sebahagian pengundi Melayu.

Pada masa sama, penurunan kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina dan India turut memberikan isyarat kemungkinan berlakunya kekecewaan dalam kalangan penyokong tradisi PH. Kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina menurun kira-kira 11 mata peratusan berbanding Pilihan Raya Umum 2022, manakala penurunan dalam kalangan pengundi India lebih ketara.

Perkara ini bukan sekadar soal angka pilihan raya. Ia turut menimbulkan persoalan mengenai kepercayaan politik, keterwakilan masyarakat dan sejauh mana PH berjaya memenuhi harapan rakyat sejak menerajui kerajaan Persekutuan sejak 4 tahun lalu.

Kepimpinan DAP mungkin berhujah bahawa kemenangan parti itu merupakan hasil khidmat yang baik di kawasan masing-masing serta keyakinan pengundi daripada pelbagai kaum.

Hujah tersebut wajar diberikan pertimbangan, khususnya dalam konteks Ayer Keroh. Namun, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan penelitian yang lebih mendalam terhadap asas sokongan elektoral parti berkenaan.

Hakikatnya, politik identiti tidak boleh dikecam secara selektif. Sesebuah parti politik tidak sewajarnya mendesak lawan politiknya meninggalkan pendekatan penggemblengan sokongan berasaskan kaum, sedangkan kebergantungannya sendiri kepada sokongan etnik tertentu diterima tanpa sebarang penelitian sebagai bukti kejayaan politik berbilang kaum.

Ukuran sebenar sebuah gerakan politik berbilang kaum bukanlah sejauh mana ia mampu mencatatkan kemenangan besar di kawasan yang didominasi penyokong tradisinya.

Sebaliknya, ukuran sebenar terletak pada keupayaannya meraih kepercayaan merentas kaum, termasuk dalam kalangan masyarakat di kawasan yang bukan merupakan kubu kuat politiknya.

Barangkali pengajaran terbesar daripada PRN Melaka bukan sekadar kekalahan PH dalam satu lagi pilihan raya. Sebaliknya, setiap gabungan politik perlu berani bermuhasabah terhadap batasan sokongan politiknya yang berasaskan identiti sebelum mempersoalkan amalan politik perkauman pihak lain.

*Prof Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!