X

Kindly register in order to view this article
!

Peranan Raja-raja Melayu sebagai perungkai kekusutan politik Malaysia

Gambar kecil: Dr. Kamaruddin
A
A
POLITIK Malaysia kini sedang mengalami satu krisis yang dapat diungkapkan oleh lirik lagu ini, “putus tak boleh disambung, kusut tak terurai...”.

Ini adalah satu suasana politik dan suasana kepimpinan negara yang cukup teruk tetapi, begitu sering diungkapkan, dalam dunia politik di Malaysia ini, tidak ada sahabat sejati dan juga tidak ada musuh abadi. Yang ada ialah kelangsungan kepentingan diri.

Sesungguhnya kekusutan politik Malaysia ini bermula sejak Mei 2018 lagi. Apa yang telah terjadi telah begitu banyak ditulis dan dianalisiskan dan tidak akan diulang di sini.

Tulisan ini sekadar menambah sedikit naratif politik Malaysia yang sering disamakan dengan satu sandiwara, iaitu permainan sandiwara yang sangat kompleks jalan cerita, watak dan perwatakannya, berterusan selagi ada bulan dan bintang.

Pada 16 Jun 2021 yang lalu, Yang di-Pertuan Agong telah mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu (ini bukan Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu yang turut dihadiri oleh para Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri).

Ini ialah satu Perbincangan Khas yang hanya dihadiri oleh Raja-Raja Melayu sahaja (kecuali Sultan Kelantan). Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah Kesihatan dan beberapa orang lagi pegawai kanan perkhidmatan awam Malaysia turut diundang hadir untuk memberikan taklimat kepada Raja-raja Melayu.

Mengikut laporan akhbar, perbincangan khas ini diadakan untuk mencari jalan penyelesaian kepada kekusutan dan kebuntuan politik sejak Proklamasi Darurat diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agung atas permintaan Perdana Menteri mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan pada Januari 2021.

Sebenarnya kuasa ini jelas di bawah perkara 150 iaitu bila-bila masa keperluan untuk mengisytihar darurat, kuasa tersebut ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong, termaktub dalam per 150(1).

Cuma polemik yang berterusan ialah samada Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat atau budi-bicara Baginda. Merujuk kepada duluan mengikat (precedent) berdasarkan keputusan kes-kes dari mahkamah tertinggi, Baginda membuat proklamasi darurat atas nasihat atau permintaan Perdana Menteri.

Setelah proklamasi darurat dibuat, untuk tujuan darurat tersebut, undang-undang darurat atau ordinan boleh dibuat. Syaratnya jika kedua-dua Majlis Parlimen tidak bersidang serentak.

Ia juga bermaksud jika Parlimen sedang bersidang serentak, maka kuasa membuat ordinan darurat jatuh kepada badan perundangan tersebut. YDPA boleh membuat apa-apa ordinan yang Baginda rasa perlu untuk tujuan mengambil tindakan serta-merta.

Secara praktiknya Yang di-Pertuan Agong akan memasyhurkan ordinan yang dideraf oleh Jabatan Peguam Negara menurut kehendak kerajaan semasa. Dalam konteks proklamasi darurat 2021, walaupun Parlimen tidak bersidang, ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh YDPA adalah sah mengikut peruntukan perkara 150(2B).

Adakah ordinan darurat perlu dibentangkan di Parlimen? Jawapannya ya, proklamasi dan ordinan darurat menurut perkara 150(3) hendaklah dibentangkan di Parlimen.

Syarat ini masih belum dipenuhi. Apabila dibentangkan di Parlimen, jika ada ketetapan kedua-dua Majlis Parlimen untuk mengungkaikan proklamasi dan ordinan, maka kedua-duanya akan terhenti berkuat-kuasa.

Keperluan pembentangan di Parlimen serta kemungkinan pengungkaian kedua-duanya adalah sebahagian dari proses semak dan imbang dalam ruang lingkup prinsip pengasingan kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan dalam Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen supaya bersidang telah digantikan dengan seksyen 12, dan 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, yang menggantung tempoh had masa untuk Parlimen dipanggil bersidang.

Oleh itu, Parlimen telah tidak bersidang. Proklamasi darurat ini dibuat, daripada perspektif pihak Kerajaan, bertujuan untuk membantu pihak Kerajaan memerangi pandemik Covid-19.

Terdapat pihak yang berpendapat bahawa proklamasi ini perlu dipersetujui oleh Parlimen Malaysia supaya boleh dianggap sah. Tetapi seksyen 12 dan 14 Ordinan Darurat yang tersebut di atas, yang telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong, adalah sah daripada segi undang-undang. Namun demikian, kekeliruan dalam kalangan rakyat terus wujud.

Sehingga kini, Parlimen Malaysia belum bersidang untuk mengesahkan ordinan darurat ini. Ini kerana, walaupun Proklamasi Darurat telah berkuat kuasa, namun setiap keputusan yang dibuat oleh pihak Kerajaan masih perlu mendapat kelulusan Parlimen Malaysia.

Jika tidak, sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak Kerajaan dalam tempuh darurat ini masih boleh dicabar dan bukanlah satu amalan tadbir urus yang baik dalam sebuah kerangka kerajaan yang berwibawa.

Dalam masa yang sama, kes baharu jangkitan Covid-19 tidak menjadi reda, malah terus meningkat tinggi. Ini bermakna bahawa Proklamasi Darurat tidak berjaya membantu mengurangkan jangkitan pandemik ini. Ini bermakna bahawa Proklamasi Darurat ini perlu ditamatkan.

Menurut laporan akhbar dan media sosial, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu telah membincangkan isu pandemik Covid-19 dan kesihatan rakyat, keadaan ekonomi negara, penamatan tempuh darurat, memulakan semula persidangan parlimen, pengisian jawatan Timbalan Perdana Menteri yang masih kosong dan sebagainya.

Sebelum itu, pada 24 Februari 2021, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempuh darurat berkuatkuasa. Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan pandangan bahawa Malaysia patut terus mengamalkan sistem demokrasi berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Namun begitu, pandangan Yang di-Pertuan Agong ini telah kurang diberikan perhatian oleh pihak Kerajaan. Empat bulan berlalu tanpa sebarang perkembangan.

Sebenarnya Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini diadakan setelah Yang di-Pertuan Agong bertemu dan mendengar pandangan para pemimpin parti-parti Politik Malaysia selama beberapa hari pada 9-11 Jun lalu.

Hasil Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu tersebut dirasakan telah menghasilkan sesuatu yang positif. YAB Perdana Menteri (Bersatu) telah melantik YB Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob (UMNO), yang memegang jawatan Menteri Kanan Pertahanan, memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 7 Julai yang lalu.

Selain itu, YB Datuk Seri Hishammuddin (UMNO) dilantik menjadi Menteri Kanan merangkap Menteri Luar dan turut ditugaskan mengendalikan kluster keselamatan negara dan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

Langkah yang diambil oleh PM tersebut jelas memperlihatkan bahawa beliau cenderung memperteguhkan penglibatan UMNO dalam Kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpinnya.

UMNO mempunyai 9 orang Menteri dan 8 orang Timbalan Menteri dalam kabinet Muhyiddin Yassin kini. Orang UMNO memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Luar, Menteri Pertahanan, Menteri Kesihatan, Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Wilayah Persekutuan, Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Menteri Perpaduan Nasional dan Menteri Belia dan Sukan. Lapan orang UMNO turut mengisi jawatan Timbalan Menteri di Kementerian lain.

Sistem pemerintahan yang terbentuk di Malaysia sejak tercapainya kemerdekaan, amat menarik diperhatikan, terutamanya berkaitan dengan cara kuasa politik diagih-agihkan.

Pada hakikatnya, sistem pemerintahan di Malaysia adalah berasaskan prinsip rasional-legal, kerana sistem ini dibangunkan berdasarkan sebuah perlembagaan yang digubah dan digubal oleh pakar undang-undang dan governans antarabangsa yang sangat arif, berdasarkan unsur-unsur watan berlandaskan adat tradisi Melayu yang pertimbangan akhirnya telah diputuskan oleh Raja-Raja Melayu.

Kita amat perlu meneliti kandungan Perlembagaan Persekutuan untuk memahami sistem pemerintahan Malaysia kini, iaitu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 (kini Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963) yang telah dirangka oleh sebuah Suruhanjaya Perlembagaan yang diketuai oleh Lord Reid pada 1956 itu.

Dengan cara itu, kita mungkin boleh memahami kenapa kemelut politik yang kita hadapi sekarang telah terjadi tanpa jalan penyelesaian yang realistik.

Sistem pemerintahan Malaysia yang telah terbentuk sejak negara mencapai kemerdekaan kira-kira 64 tahun lampau adalah berasaskan idea dan prinsip mengenai kedudukan dan kuasa politik Raja-Raja Melayu, peruntukan kuasa untuk badan eksekutif, untuk badan perundangan, dan untuk badan kehakiman yang disarankan oleh The Reid Commission Report 1957.

Secara luas, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa utama kepada badan utama, iaitu Yang di-Pertuan Agong (dan Majlis Raja-Raja). Di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong terdapat tiga badan yang diberikan kuasa perundangan, kuasa eksekutif, dan kuasa kehakiman.

Kuasa Perundangan diberi kepada Parlimen, kuasa eksekutif diberikan kepada Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri. dan kuasa kehakiman atau mahkamah diberi kepada Badan Kehakiman.

Pemberian kuasa tiga badan itu, secara perbandingan, tidak jauh bezanya daripada model sistem pemerintahan the United Kingdom.

Namun begitu, sistem Perlembagaan Persekutuan masih mengekalkan unsur-unsur watannya, maka ciri-ciri yang ada dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan tidaklah bulat-bulat diambil daripada amalan Westminster, sebaliknya hanya beberapa bahagian bermodelkan sistem perundangan British.

Sistem Perlembagaan Persekutuan seperti yang dihuraikan dalam Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan (2021)", menetapkan tiga cabang kuasa di bawah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Tiga cabang kuasa tersebut ialah cabang perundangan Persekutuan atau Parlimen, cabang eksekutif dan cabang kehakiman. Ketiga-tiga cabang kuasa ini mendapat sumber kuasa dan legitimasi daripada kuasa kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1957.

Setelah lebih tiga tahun menonton sandiwara ini, kini jelas kepada saya bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu bersungguh-sungguh sedang memainkan peranan yang sangat penting sebagai perungkai kekusutan politik Malaysia ini.

Para penonton politik Malaysia kedengaran bertepuk tangan. Tetapi, saya merasa kurang yakin bahawa langkah bijaksana Raja-Raja Melayu ini akan berupaya merungkai kemelut politik Malaysia ini tanpa banyak masalah.

Ini ialah kerana Badan Eksekutif (Kerajaan) tidak menghormati sepenuhnya kuasa tertinggi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, yang sedia tersurat dan tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan, untuk menjadi perungkai kekusutan politik seperti yang sedang kita alami kini dengan lebih berkesan dan pantas.

Wan Ahmad Fauzi (ibid) turut menghujahkan bahawa tanggapan bahawa model Westminster yang selama ini menjajah pemikiran ahli politik dan para sarjana membayangkan kedudukan Raja-Raja Melayu seolah-olah duduk beriringan dan bersaing dengan pihak eksekutif, amat perlu diubah.

Kononnya 95 peratus dalam pelaksanaan fungsi kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja perlu mengikut nasihat sehingga menanggalkan kuasa prerogatif Baginda.

Walhal begitu jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong, sebagai prinsip tadbir urus tertinggi negara, kuasa kedaulatan yang termaktub dalam Perkara 181(1) dan ketinggian Perlembagaan Persekutuan inilah yang sepatutnya menjadi panduan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Saya bukan lulusan undang-undang atau seorang pakar perlembagaan. Tetapi, setelah membaca Perlembagaan Persekutuan dengan teliti, saya yakin sudah tiba masanya mandat moral dan kedaulatan yang kudus hak Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu, dijulang oleh Perlembagaan Persekutuan dengan lebih mantap, supaya baginda semua dapat berganding pemikiran dan kearifan untuk merungkaikan kemelut politik Malaysia ini, kini dan pada masa depan.

Kaedah “pengkhususan kuasa” tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan untuk memisahkan kuasa Badan Eksekutif (Kabinet), Badan Perundangan (Parlimen), dan dan Badan Kehakiman.

Namun begitu, ketiga-tiga badan ini menjalankan peranan masing-masing atas nama Yang di-Pertuan Agong. Daripada satu sudut, Yang di-Pertuan Agong, sebagai Ketua Utama Negara, bukanlah hanya simbol penyatuan sistem pemerintahan Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja setiap lima tahun sekali, sesungguhnya mempunyai kuasa perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa: Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang Persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

Ini saya anggap satu ayat yang cukup kompleks. Pertama: Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak kuasa eksekutif. Kedua: Kuasa eksekutif ini boleh dijalankan oleh Jemaah Menteri (Kabinet) atau Menteri yang dipilih oleh Jemaah Menteri. Ketiga: Parlimen boleh memberikan fungsi eksekutif ini kepada orang lain.

Persoalannya, oleh kerana Parlimen tidak bersidang seperti biasa, adakah hak Parlimen untuk memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain ini dapat dilaksanakan? Sudah tentu tidak.

Selain itu, Perlembagaan Persekutuan juga menetapkan, mengikut Perkara 40, bahawa: Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Pada 24 Jun 1994, menerusi Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994 atau Akta A885, Perkara 40(1) tersebut telah ditambah dengan Perkara 40(1A) yang berbunyi: Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Sekarang sudah jelas kepada saya, seorang bukan pakar Perlembagaan, bahawa terdapat kontradiksi yang membingungkan antara Perkara 39 dan Perkara 40, Perlembagaan Persekutuan ini.

Kerana ini bermakna, jika kita berpegang kepada Perkara 39, kita rasa Yang di-Pertuan Agong memang mempunyai kuasa eksekutif, walaupun fungsi eksekutif baginda dijalankan oleh Jemaah Menteri. Tetapi jika kita berpegang kepada Perkara 40, jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa eksekutif, tetapi hanya perlu mematuhi nasihat eksekutif orang lain.

Perkara 40 (2) menetapkan bahawa “Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu: (a) Melantik seorang Perdana Menteri; (b) Tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen; (c) Meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.”

Perkara 40(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa, “Undang-undang Persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang selain Jemaah Menteri pada menjalankan mana-mana fungsinya selain (a) fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya; (b) fungsi yang berkenaan dengan perjalanannya peruntukan ada dibuat dalam mana-mana Perkara lain.”

Parlimen ialah Badan Perundangan Persekutuan yang diberi kuasa membuat undang-undang, dan Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan menetapkan, “Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.”

Yang di-Pertuan Agong diberikan kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen. Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong diberikan kuasa memperkenankan sesuatu Rang Undang-Undang yang telah diluluskan oleh Majlis Parlimen, sebelum undang-undang berkenaan berkuat-kuasa.

Kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong mungkin nampak terhad, namun tiga perkara mengikut budi-bicara Baginda adalah perkara yang tidak kurang pentingnya.

Ada pendapat hakim, dalam kes yang telah diputuskan, bahawa walaupun Raja dan Yang di-Pertuan Agong bertindak secara amnya atas nasihat, dalam keadaan di mana nasihat tersebut pada pandangan Baginda tidak sah atau tidak selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan semangat perlembagaan, Baginda boleh menolak nasihat yang diberikan.

Satu contoh menarik apabila Baginda menolak nasihat Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat pada bulan Oktober tahun 2020.

Setakat ini jelas bahawa hubungan yang kompleks terbentuk antara kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara “yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana mahkamah kecuali di dalam mahkamah khas”.

Di satu pihak, Yang di-Pertuan Agong ialah punca kuasa bagi badan eksekutif, badan legislatif dan badan kehakiman. Dan di satu pihak lagi, Jemaah Menteri adalah penasihat utama di mana Baginda “hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.” Ini jelas sekali bercanggah antara satu sama lain.

Rakyat Malaysia menerima prinsip “Keluhuran Perlembagaan” seperti yang termaktub dalam Rukun Negara. Namun begitu, bahasa yang diguna pakai dalam penulisan Perlembagaan Persekutuan ini amatlah sukar difahami oleh pembaca biasa.

Selepas membaca berkali-kali Perkara 39 dan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan ini, saya berpendapat bahawa maksudnya yang tersurat dan tersirat yang begitu kusut adalah punca kekusutan politik yang kita hadapi sekarang.

Saya masih yakin bahawa konsep pemisahan kuasa di mana tiga badan utama (Parlimen, Jemaah Menteri dan Kehakiman) berada di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong ini adalah satu formula yang baik daripada segi memberikan kestabilan dan keseimbangan kepada sistem pemerintahan Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seharusnya “apolitical” kerana kesan pembabitan seorang Raja dalam arena politik negerinya atau negaranya mempunyai kesan yang amat besar.

Pada masa yang sama, dalam ruang lingkup kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, kekusutan politik Malaysia ini boleh dirungkai.

Krisis politik di Perak pada 1996, serta krisis perlembagaan bulan Februari 2020 di peringkat Persekutuan adalah contoh-contoh bagaimana Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu memainkan peranan pengaman dan penyelesaian kemelut politik yang berlaku.

Tindakan memanggil kesemua Anggota Dewan Undangan Negeri di Perak selepas berita mengenai 3 orang ADUN yang tidak lagi menyokong kerajaan semasa yang menyebabkan MB hilang sokongan majoriti di DUN Perak, telah dapat merungkaikan kemelut politik negeri Perak.

Baginda Sultan Perak telah memanggil setiap ADUN untuk menyatakan samada mereka masih menyokong MB atau tidak, sesungguhnya telah menyelesaikan isu samada benar atau tidak MB telah hilang sokongan majoriti di DUN.

Apabila Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 23 Februari 2020, Yang di-Pertuan Agong perlu melantik seorang Perdana Menteri yang baru. Namun ketika itu tidak jelas siapa yang mempunyai sokongan majoriti.

Setelah penapisan sokong diadakan dengan memanggil setiap seorang anggota Dewan Rakyat, Baginda telah melantik YAB Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Ini adalah contoh bagaimana seorang Yang di-Pertuan Agong menjalankan kuasa Baginda untuk merungkai kemelut politik dengan cara tersendiri yang selaras dengan kuasa perlembagaan yang beliau ada.

Setiap peruntukan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perlembagaan perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas. Walaupun penting untuk mentafsirkan kuasa-kuasa tersebut mengikut perkataan dan ayat dalam perlembagaan, terdapat peruntukan-peruntukan yang memerlukan tafsiran melangkaui perkataan-perkataan nyata kerana perkataan-perkataan tersebut tidak memberi makna yang jelas.

Perkara 43(2)(a) menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang Perdana Menteri daripada seorang anggota Dewan Rakyat yang pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat yang lain.

Dalam keadaan di mana tiada seorang pun anggota Dewan Rakyat yang memenuhi kriteria tersebut, adakah bermakna Yang di-Pertuan Agong langsung tidak boleh melantik seorang Perdana Menteri. Boleh atau tidak Baginda melantik seorang Perdana Menteri yang pada masa itu belum jelas akan mendapat sokongan majoriti tetapi dalam masa tertentu akan berjaya menarik sokongan lebih ramai anggota Dewan Rakyat untuk mencukupkan kuota majoriti mudah di Dewan Rakyat? Ini adalah salah satu contoh kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan yang boleh ditafsirkan dengan lebih luas untuk kelangsungan sesebuah kerajaan untuk meneruskan pentadbiran negara.

Kini, zaman telah berubah dan minda politik rakyat juga sedang mengalami perubahan yang ketara. Era yang menyaksikan perlawanan ideologi dan dokterin politik dalam arena perebutan kuasa dalam dekad 1960an hingga 1990an boleh dikatakan telah berakhir.

Kini, permainan politik demokrasi di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, diwarnai oleh perenggu minda (mindsets) dan konsep-konsep baru seperti keadilan semula jadi, kesaksamaan, ketelusan, integriti, kalbu yang bersih (conscience), nyah-rasuah, nyah-salahguna kuasa, nyah-diskriminasi (inklusif) dan sebagainya.

Namun begitu, budaya politik Malaysia masih sukar untuk melalui satu proses pembersihan yang mencukupi. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa terus berleluasa.

Pendeknya, sistem pemerintahan Malaysia yang telah pun dibentuk oleh Perlembagaan Persekutuan masih boleh berfungsi dan berwibawa dengan baik, dan berupaya membantu Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu diyakini dapat memainkan peranan strategik untuk menyelesaikan kekusutan politik Malaysia dengan syarat kekusutan perlawanan Perkara 39 dan 40 dalam Perlembagaan Malaysia dirungkai terlebih dahulu.

Dalam keadaan yang kusut di mana tidak terdapat gabungan parti politik yang mempunyai sokongan majoriti yang mencukupi dalam Parlimen, sistem pemerintahan Malaysia tidak diyakini dan dihormati oleh komuniti antarabangsa, terutama oleh para pelabur.

* Dr. Kamaruddin M. Said merupakan Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!