X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah Rayuan beri injuksi Einford kepada Dhaya Maju

Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd pada Isnin memperoleh injuksi Erinford bagi menghalang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) daripada mengambil tindakan selanjutnya untuk membatalkan lesen syarikat pembinaan bagi menduduki tapak projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2).

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan permohonan Dhaya Maju LTAT bagi injunksi Erinford itu setelah mendapati terdapat merit dalam permohonan tersebut.

Dua lagi hakim ialah Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

“Kami mempertimbangkan hujah semua pihak. Berikut ini adalah keputusan sebulat suara kami. Terdapat merit dalam permohonan ini. Sehubungan itu, kami bersetuju dengan hujah pemohon (Dhaya Maju LTAT).

"Kami juga membenarkan permohonan lisan oleh peguam pemohon untuk menghalang KTMB daripada mengambil langkah selanjutnya untuk menguatkuasakan pembatalan lesen untuk menduduki. Oleh itu, kami memberikan perintah yang dimohon," kata hakim melalui prosiding secara maya.

Injunksi Erinford merupakan perintah mahkamah khusus bagi menghentikan pihak lain daripada berurusan dengan perkara berkaitan tindakan undang-undang sehingga proses rayuan selesai.

Dhaya Maju memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak perintah injunksi yang dimohon terhadap kerajaan dan KTMB.

Peguam Khoo Guan Huat mewakili Dhaya Maju LTAT manakala Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Asliza Ali mewakili kerajaan dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. KTMB diwakili peguam Sean Yeow Huang Meng.

Pada 22 Jun, Dhaya Maju LTAT memperoleh injunksi ad interim bagi mengekalkan status quo kes sementara menunggu pelupusan kes rayuan syarikat itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak perintah injunksi yang dipohon terhadap kerajaan dan KTMB.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Kamaludin Md Said membenarkan permohonan Dhaya Maju LTAT sementara pendengaran permohonan injunksi Erinford pada Isnin.

Pada 8 Jun, Dhaya Maju LTAT telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Jun yang menolak permohonannya untuk mendapatkan perintah injunksi interim bagi menghalang kerajaan dan KTMB daripada mengarahkan syarikat itu menghentikan kerja-kerja di tapak projek KVDT2.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lim Chong Fong membenarkan permohonan syarikat itu bagi perintah injunksi Erinford dilanjutkan sehingga 24 Jun, sementara rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

Hakim itu bagaimanapun menolak permohonan injunksi interim itu atas alasan berdasarkan Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan 1956 (Akta 356), undang-undang menghalang mahkamah daripada mengeluarkan injunksi terhadap kerajaan dan penjawat awam bagi menghalang mereka daripada melaksanakan tugasan rasmi.

Pada 27 Oktober tahun lepas, Dhaya Maju LTAT memfailkan saman terhadap kerajaan, Wee, KTMB dan Opus Consultants berhubung penamatan kontrak syarikat itu dalam projek KVDT2.

Pernyataan tuntutan Dhaya Maju LTAT antara lain mendakwa bahawa sehingga kini, notis penamatan rasmi tidak diserahkan kepada syarikat itu dan ia langsung tidak menyedari tentang penamatan itu sehinggalah ia diumumkan Wee dalam satu kenyataan media.

Selain ganti rugi, Dhaya Maju LTAT iaitu syarikat usaha sama Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diperbadankan pada 5 Jun 2017 di bawah Akta Syarikat 2016, memohon deklarasi bahawa keputusan menamatkan kontrak itu adalah tidak sah dan batal.

Pertikaian itu timbul selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang dianugerahkan menerusi rundingan terus semasa pentadbiran Pakatan Harapan dan ia turut membabitkan projek KVDT2 bernilai RM4.475 bilion yang diberikan kepada Dhaya Maju LTAT. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!