X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Dicekup sebelum sempat terima upah lumayan edar dadah

Mohd Zaidi (tengah) menunjukkan syabu yang berjaya dirampas dalam serbuan yang dijalankan di pusat bandar Kota Kinabalu.
A
A

KOTA KINABALU - Upah lumayan sehingga RM1,000 menyebabkan dua lelaki sanggup menggadai nyawa mereka dengan menjadi dalang kepada rangkaian sindiket dadah di daerah ini sejak enam bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan dua lelaki berusia 22 dan 28 tahun itu akhirnya berjaya dihidu polis sebelum ditahan bersama lebih dua kilogram syabu dalam satu serbuan di kawasan berhampiran pusat beli-belah di pusat bandar pada jam 4.15 petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, serbuan itu dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan dua lelaki terbabit berada di dalam sebuah kenderaan yang sedang diparkir berhampiran bangunan pusat beli-belah terbabit dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk mengambil syabu.

"Ketika polis mendekati kenderaan itu, kedua-dua suspek enggan membuka kenderaan dan menguncinya dari dalam menyebabkan pasukan serbuan terpaksa memecahkan tingkap di bahagian sebelah penumpang.

"Hasil pemeriksaan pada kenderaan menemui dua bungkusan mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan berat 2,092.7 gram yang bernilai RM72, 000 mengikut harga pasaran," katanya pada sidang akhbar di IPD Kota Kinabalu pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, hasil ujian air kencing kedua-dua individu terbabit didapati negatif namun salah seorang daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan dadah.

"Hasil siasatan lanjut juga mendapati mereka ini adalah orang tengah atau dalang kepada sindiket yang aktif mengedar dadah di pusat bandar ini untuk diedarkan kepada penagih tempatan.

"Mereka yang juga adalah penganggur dipercayai mengambil upah sehingga RM1,000 untuk setiap penghantaran dadah di sekitar pusat bandar," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!