Satu daripada lima rakyat alami anemia

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu daripada lima atau 21.3 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah anemia atau keadaan kepekatan hemoglobin (Hb) dalam sel darah merah rendah, demikian menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara khususnya, berdasarkan tinjauan tersebut, tiga daripada 10 wanita dalam usia reproduktif iaitu 15 hingga 49 tahun mengalami masalah anemia.

"Anemia boleh mengakibatkan kelahiran pramatang dan menjejaskan perkembangan mental, fizikal dan kognitif yang seterusnya akan menyebabkan masalah kurang berat lahir dan terbantut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, antara penyebab anemia adalah kekurangan zat besi dan asid folik yang juga boleh menyebabkan kecacatan kekal dalam kalangan bayi seperti Neural Tube Defects (NTD).

"NTD adalah masalah pembentukan dan tumbesaran saraf bayi semasa dalam kandungan yang boleh menyebabkan bayi dilahirkan dengan tempurung kepala tidak lengkap, tumbesaran otak terencat dan pembentukan tulang belakang tidak sempurna," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, masalah itu seterusnya meningkatkan kos rehabilitasi dan pengurusan pesakit, mengurangkan kualiti kehidupan serta boleh menyebabkan kematian.

Sehubungan itu, beliau berkata, pelaksanaan fortifikasi zat besi dan asid folik dalam tepung gandum bersubsidi dapat membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah mendapatkan akses makanan berkhasiat bagi meningkatkan status pemakanan serta kesihatan terutama ketika pandemik Covid-19.

Katanya, inisiatif oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu juga mendapat kerjasama baik daripada pengilang tepung gandum dan berharap sokongan tersebut diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sokongan berterusan daripada pengilang penting dalam usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan fortifikasi zat besi dan asid folik ke atas semua tepung gandum di pasaran tempatan secara mandatori.

"KKM menyambut baik inisiatif KPDNHEP bagi melaksanakan fortifikasi tepung gandum dengan zat besi dan asid folik di bawah Program Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am (PSTG) pek 1 kilogram dan mengambil maklum bahawa semua pengilang tepung gandum yang terlibat telah melaksanakannya sejak 1 Julai 2021.

"Pelaksanaan inisiatif ini sejajar dengan saranan KKM di mana ia merupakan satu intervensi kesihatan awam yang berkesan dan menyeluruh untuk meningkatkan pengambilan zat besi dan asid folik dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya. - Bernama