X

Kindly register in order to view this article
!

Kes bekas ADUN Batu Maung dipindah ke Mahkamah Sesyen Butterworth

Mansor
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin membenarkan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Ir Mansor Musa yang didakwa dengan 58 pertuduhan pengubahan wang haram dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth untuk dibicarakan bersama 106 pertuduhan berhubung kesalahan sama.

Hakim, Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Butterworth.

Dalam prosiding pada Isnin Rozina berkata, pertuduhan dihadapi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkaitan dengan pertuduhan di Pulau Pinang.

“Memandangkan peguam tiada bantahan, mahkamah membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth kerana ia melibatkan dokumen serta saksi-saksi yang sama.

Peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 September depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Pada 15 Julai lalu, Mansor, 58, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 58 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM9.22 juta.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-42 tertuduh didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram antaranya menerima wang dalam bentuk tunai, pembelian saham, memindahkan wang dan pembayaran kepada kontraktor malalui beberapa buah syarikat.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Sementara itu, bagi pertuduhan ke-43 hingga ke-58 tertuduh didakwa menerima, mengguna dan memindahkan wang daripada sebuah syarikat yang merupakan hasil daripada aktiviti haram yang didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Public Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan cawangan Starparc Point serta RHB Bank Berhad cawangan KLCC di sini antara Disember 2008 hingga Mei 2015 membabitkan nilai RM9.22 juta.

Pada 13 Julai itu, Mansor yang juga Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Buttorworth terhadap 106 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM11 juta melibatkan kesalahan sama.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!