Manusia bukan punca penyakit kulit jangkiti jerung di Sabah

Faktor manusia boleh diketepikan sebagai punca penyakit kulit misteri yang menjangkiti jerung berhampiran lokasi menyelam popular di Pulau Sipadan. Gambar hiasan. - Foto Yahoo
Faktor manusia boleh diketepikan sebagai punca penyakit kulit misteri yang menjangkiti jerung berhampiran lokasi menyelam popular di Pulau Sipadan. Gambar hiasan. - Foto Yahoo
A
A
A

SEMPORNA - Ahli biologi Malaysia berkata, faktor manusia boleh diketepikan sebagai punca penyakit kulit misteri yang menjangkiti jerung berhampiran lokasi menyelam popular di Pulau Sipadan dekat sini, namun siasatan lanjut masih perlu dijalankan bagi mencari jawapan muktamad untuk membantu jerung berkenaan.

Pakar marin digesa menjalankan siasatan lanjut berhubung fenomena itu tetapi usaha mereka terhad bagi tempoh jangka pendek kerana beberapa faktor.

Mereka memerlukan dana untuk menyokong penyelidikan jangka panjang mengenai fenomena yu atau nama saintifiknya Triaenodon obesus selepas diserang penyakit itu, yang tular di internet.

Menurut Davies Austin Spiji, ahli biologi marin kanan kumpulan pemuliharaan Reef Guardian, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan berkata, pasukan penyiasat yang diketuai Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjalankan kerja lapangan pertama dari April hingga awal Mei.

Selain Davies, pasukan itu mempunyai lima penyelidik iaitu Dr Mabel Manjaji Matsumoto, Dr Rafidah Othman, Muhammad Ali Syed Hussein, Dr Zarinah Waheed dan Dr Mohd Tamrin Mohd Lal, dari Institut Penyelidikan Marin Borneo UMS (BMRI-UMS).

“Para penyelidik dapat melihat penyakit kulit itu pada setiap kumpulan yu yang mereka temukan, tetapi tidak berupaya untuk menangkap jerung itu bagi mendapatkan sampel kulit yang dijangkiti itu untuk analisis makmal terhadap mikrob iaitu punca penyakit itu di perairan Sipadan.

“Faktor manusia boleh diketepikan, tetapi pemanasan laut antara satu daripada penyebab selepas pasukan penyiasat mendapati suhu permukaan laut di Sipadan telah meningkat kepada 29.5 darjah Celsius pada Mei, iaitu lebih tinggi berbanding 1985, tetapi masih banyak penyelidikan perlu dijalankan untuk mencari jawapannya.

“Ia mungkin mengambil masa dua tahun, sekurang-kurangnya dapat memantau sepenuhnya dan menangani trend fenomena jerung berpenyakit,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Pulau Sipadan, dengan ketinggian 600 meter dari dasar laut terletak di pantai timur Sabah di Semporna, lebih 550 kilometer dari Kota Kinabalu, menghimpunkan sekitar 400 spesies ikan dan ratusan spesies karang.

Yu Sirip Putih, dinamakan sempena ciri distingtif warna putih yang terdapat pada hujung siripnya dan ikan ini biasanya terdapat di sekitar terumbu karang pada siang hari dan menjadi tarikan popular bagi penyelam.

Davies berkata, usaha untuk melakukan persampelan lanjut di lapangan tidak dapat dilaksanakan berdasarkan beberapa faktor seperti pelaksanaan kawalan pergerakan, penutupan makmal dan penyelidik keberatan untuk mengambil sampel selagi belum divaksinasi sepenuhnya.

“Kami akan terus mengumpul data dan himpun semua maklumat sokongan. Pasukan penyelidik sedang giat mencari dana dari tempat lain untuk menyokong usaha pelbagai pihak berkepentingan bagi jangka panjang dalam isu ini (penyakit yang dihadapi jerung),” katanya.

Davies berkata, pasukan penyelidik disokong oleh pegawai dan renjer Taman-Taman Sabah yang berpangkalan di Sipadan, dan menambah Taman-Taman Sabah, selaku pengurus Taman Pulau Sipadan, menyalurkan dana permulaan untuk menggerakkan pasukan penyelidik.

Beliau berkata, sumber dana itu diperoleh daripada Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang (CTI) iaitu pemberian Sabah di bawah 'CTI Sabah Matlamat 3: Kawasan Perlindungan Marin (MPA) yang ditubuhkan dan diuruskan dengan berkesan'. - Bernama