X

Kindly register in order to view this article
!

Jaminan MPN perangi Covid-19

Gambar hiasan.
A
A
SISTEM kesihatan awam nasional semakin lumpuh gara-gara dilanda krisis pandemik Covid-19 sejak tahun lalu kini diselamatkan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibawah Majlis Pemulihan Negara (MPN) hasil usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pendekatan pelaksanaan PPN menerusi MPN bagi mengawal dan mencegah penularan jangkitan drastik wabak Covid-19 itu adalah satu usaha cukup efektif yang wajar menerima pujian umum.

Menurut kolum lidah pengarang akhbar harian Makkal Osai, penubuhan MPN tersebut sepatutnya diperkenalkan pada peringkat awal negara ditimpa musibah jangkitan virus Covid-19.

Sungguhpun pengenalan MPN itu agak terlewat namun ia masih menjelma tepat pada waktunya ketika Malaysia merekodkan kes jangkitan harian melebihi 10,000.

Makkal Osai menyifatkan pelaksanaan PPN dengan pembentukan MPN secara langsungnya telah memberi sinar baharu dan keyakinan kepada rakyat jelata bahawa negara akan bebas daripada ancaman pandemik Covid-19.

Baru-baru ini, MPN dibentuk menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras PPN, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah membuat pengumuman keputusan itu dan menjelaskan ia diambil bagi memastikan pelaksanaan PPN berjalan lancar serta mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak Covid-19 secara holistik.

Makkal Osai berkata, pelan pemulihan yang dirangka dibawah tanggungjawab Menteri Kewangan itu turut diputuskan bakal dibentangkan di Parlimen esok.

Nasihat

Dalam pada itu, akhbar harian itu menyatakan bahawa MPN yang dibentuk itu akan melantik wakil-wakil dari sektor swasta, pakar industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi pengalaman serta nasihat dalam variasi aspek PPN.

Sementara itu, MPN juga bersetuju menjemput wakil dari parti-parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan, Warisan dan Pejuang disertai sebagai ahli majlis berkenaan.

Kesemua inisiatif itu adalah untuk membolehkan Malaysia keluar daripada pandemik Covid-19 secara sistematik.

Makkal Osai mendapati Menteri Kewangan telah bertemu dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah mencadangkan penubuhan MPN pada Jun lalu dan Setiausaha Agung parti DAP, Lim Guan Eng serta wakil-wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Kata Makkal Osai, usaha Tengku Zafrul dalam memperoleh pandangan dan idea bernas pihak pembangkang itu menjadi satu permulaan baik ke arah politik sihat negara yang masih belum stabil berikutan pelbagai langkah kecemasan figura-figura politik lebih mementingkan kuasa berbanding keamanan negara dan kelangsungan hidup rakyat.

Selain itu, Tengku Zafrul telah mengakui idea-idea diterima daripada pihak pembangkang itu terbaik, tulus, ikhlas dan efisien dalam memerangi ancaman pandemik negara.

Jelas Tengku Zafrul lagi, ia juga bersesuaian dengan keadaan semasa negara dan bersifat menjaga kebajikan rakyat yang menderita akibat kehilangan punca pendapatan serta kebebasan hidup secara normal.

Menteri Kewangan itu turut meluahkan hasratnya bahawa kolaboratif antara pihak kerajaan dan pembangkang seumpama itu harus diteruskan supaya kestabilan politik, ekonomi dan sosial Malaysia terjamin.

Pembentukan MPN bukan sahaja mendekati keperluan rakyat untuk mengimbangi sektor politik, ekonomi dan sosial sebaliknya ia juga dijadikan platform sesuai untuk berkongsi baik buruk kerajaan semasa dibawah tampuk kepimpinan PN untuk memperbaiki pengurusan pentadbiran negara ketika bencana pandemik itu.

Harapan rakyat Malaysia adalah negara segera bebas daripada ancaman Covid-19 dan sektor ekonomi yang telah terjejas dapat pulih kembali serta kestabilan politik terjaga.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!