PRN Melaka: Kerjasama strategik BN-PN mendepani PRU16

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan bermula dengan penamaan calon pada 31 Oktober dan diikuti hari pengundian pada 14 November 2026 bukan sekadar satu lagi pertembungan untuk merebut kerajaan negeri.
Ia merupakan ujian penting bagi dua gabungan politik, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Lebih daripada itu, PRN ini akan menguji evolusi kerjasama kedua-dua gabungan selepas melalui dua pengalaman berbeza di Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus memberikan bayangan awal tentang bentuk penjajaran politik menjelang Pilihan Raya ke-16 (PRU16).
Melaka mempunyai sejarah panjang sebagai kubu tradisi BN. Pada PRN 2021, BN mencatat kemenangan besar dengan memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan PN dua kerusi.
Namun, PRU15 yang berlangsung setahun kemudian memberikan gambaran yang berbeza. BN gagal memenangi mana-mana daripada enam kerusi Parlimen di Melaka, manakala PH dan PN masing-masing memenangi tiga kerusi. Pas memenangi Tangga Batu dan Jasin, manakala Masjid Tanah dimenangi Bersatu.
Di sinilah terletaknya paradoks politik Melaka. BN terbukti kuat di peringkat DUN, tetapi Pas dan blok PN menunjukkan daya saing yang lebih ketara di peringkat Parlimen.
Justeru, persoalan dalam PRN kali ini bukan sekadar siapa mempunyai lebih banyak kerusi atau siapa lebih kuat secara bersendirian, tetapi sejauh mana kekuatan yang berbeza itu dapat diterjemahkan melalui kerjasama pilihan raya.
Evolusi Model Kerjasama: Selepas Johor dan Negeri Sembilan, kini Melaka
Johor merupakan fasa awal eksperimen kerjasama ini. Pas mengarahkan penyokongnya menyokong calon BN di kawasan yang tidak ditandingi PN. Namun, kerjasama penuh belum terbentuk kerana Pas sendiri masih bertanding di beberapa kerusi.
Pengalaman Johor menunjukkan bahawa sokongan taktikal boleh membantu mengurangkan pertembungan, tetapi belum semestinya membentuk sebuah model kerjasama yang lengkap dan tersusun.
Negeri Sembilan kemudiannya menjadi fasa kedua yang lebih terancang. BN dan PN berjaya mengelakkan pertindihan kerusi dan akhirnya membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga apabila BN memenangi 18 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi.
Lebih penting daripada jumlah kerusi ialah persoalan vote transferability atau kebolehpindahan undi. Keputusan Negeri Sembilan menunjukkan bahawa persefahaman antara kepimpinan boleh diterjemahkan kepada sokongan di beberapa kawasan, tetapi tahap pemindahan undi tetap dipengaruhi oleh faktor calon, sentimen tempatan dan kekuatan jentera.
Melaka kini menjadi ujian ketiga. BN telah memuktamadkan 21 kerusi untuk ditandingi, manakala tujuh lagi diperuntukkan kepada rakan strategiknya. Ini menunjukkan bentuk kerjasama telah berkembang daripada sekadar arahan sokongan kepada pembahagian medan pertandingan yang lebih jelas.
Namun, mengelakkan pertembungan kerusi hanyalah syarat pertama. Ujian sebenar ialah sama ada penyokong parti-parti yang bekerjasama bersedia memberikan sokongan kepada calon rakan mereka.
Keadaan di Negeri Sembilan memberi satu rujukan, tetapi Melaka mempunyai konteks yang berbeza. Di Negeri Sembilan, kerjasama BN–PN dibentuk dalam usaha mengambil alih kerajaan negeri. Di Melaka pula, BN memasuki pilihan raya sebagai kerajaan penyandang dengan majoriti besar. Oleh itu, pola sokongan di kedua-dua negeri tidak semestinya sama.
BN kuat di DUN, Pas berpotensi tambah sokongan Melayu
BN memasuki PRN ini dengan kelebihan sebagai kerajaan penyandang, jentera yang tersusun serta rekod kemenangan 21 kerusi pada PRN 2021.
Namun, keputusan PRU15 mengingatkan bahawa penguasaan kerusi DUN tidak semestinya bermaksud pola sokongan akan kekal dalam semua jenis pilihan raya.
Kegagalan BN memenangi kerusi Parlimen di Melaka pada PRU15 menunjukkan terdapat sebahagian pengundi yang membuat pilihan berbeza mengikut konteks pertandingan.
Di sinilah peranan Pas dalam kerjasama ini menjadi penting. Pas tidak memenangi sebarang kerusi DUN dalam PRN 2021, manakala dua kerusi PN ketika itu dimenangi Bersatu.
Namun pada PRU15, Pas memenangi Tangga Batu dan Jasin. Fakta ini menunjukkan bahawa kekuatan Pas di Melaka tidak boleh dinilai berdasarkan keputusan PRN 2021 sahaja.
Dari sudut strategi, Pas berpotensi membantu BN menambah sokongan dalam segmen pengundi Melayu serta menggerakkan jentera di kawasan tertentu.
Bagi Pas pula, PRN Melaka merupakan peluang untuk menilai sama ada prestasinya pada PRU15 boleh diterjemahkan kepada sokongan di peringkat DUN.
Pada masa yang sama, BN perlu mengurus kedudukan parti komponennya dengan berhati-hati. Daripada 21 kerusi BN, dua diperuntukkan kepada MCA dan satu kepada MIC. MCA sebelum ini bertanding tujuh kerusi pada PRN 2021.
Perubahan jumlah kerusi ini berpotensi menimbulkan perbahasan dalaman mengenai pembahagian ruang antara parti komponen, tetapi sejauh mana ia memberi kesan kepada sokongan pengundi masih perlu dilihat melalui kempen dan keputusan pilihan raya.
Atas sebab itu, kerjasama BN–PN lebih berkesan jika dijelaskan bukan sekadar melalui kerangka penyatuan politik Melayu, tetapi turut dikaitkan dengan kestabilan pentadbiran, dasar negeri dan jaminan bahawa kepentingan masyarakat pelbagai kaum terus diambil kira.
PH, Bersatu dan pertarungan menuju PRU16
PH pula memasuki PRN Melaka dengan strategi yang lebih terfokus. Gabungan itu mengumumkan 21 calon yang terdiri daripada sembilan calon PKR, tujuh DAP dan lima Amanah.
Kekuatan PH secara tradisi lebih ketara di kawasan bandar dan kawasan bercampur. Dalam kempen kali ini, isu hubungan BN–Pas, prestasi kerajaan negeri, calon dan isu tempatan berkemungkinan menjadi antara tema utama yang dipertandingkan oleh semua pihak.
PH juga berdepan cabaran untuk memperluaskan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu, khususnya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar. Dalam konteks itu, perkembangan di DUN Bemban menarik perhatian apabila PH memberikan laluan kepada calon Bersatu.
Langkah tersebut menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya wujud suatu bentuk persefahaman pilihan raya antara PH dan Bersatu di kerusi berkenaan. Namun, ia belum cukup untuk disimpulkan sebagai satu pakatan menyeluruh atau formula tetap bagi kerusi-kerusi lain.
Dari sudut analisis, penyertaan Bersatu di Bemban boleh ditafsirkan sebagai usaha memperluaskan pilihan kepada pengundi di kawasan yang mempunyai komposisi Melayu yang signifikan.
Sama ada pendekatan ini mampu menghasilkan pemindahan undi antara penyokong PH dan Bersatu masih menjadi persoalan yang hanya dapat dinilai selepas keputusan pilihan raya.
Perkembangan ini turut menunjukkan bahawa landskap politik Melaka semakin bersifat fleksibel. BN bekerjasama dengan Pas di peringkat negeri tetapi masih berada dalam Kerajaan Persekutuan bersama PH, sementara PH pula memberi ruang kepada calon Bersatu di sekurang-kurangnya satu kerusi.
Keadaan ini tidak semestinya menunjukkan pembentukan penjajaran nasional baharu, tetapi ia menunjukkan bahawa kerjasama taktikal mengikut konteks negeri semakin menjadi sebahagian daripada strategi parti-parti politik.
Justeru, pencapaian setiap blok dalam PRN ini bergantung pada beberapa faktor yang masih terbuka: kebolehpindahan undi, penerimaan akar umbi, kekuatan calon, isu tempatan dan keupayaan jentera.
Penutup
PRN Melaka merupakan satu lagi ujian penting sebelum PRU16. Johor memperlihatkan model sokongan taktikal, manakala Negeri Sembilan menunjukkan bahawa kerjasama yang lebih tersusun boleh diterjemahkan kepada pembentukan kerajaan.
Melaka pula akan menjadi medan untuk menilai sama ada formula kerjasama tersebut sesuai dalam konteks politik yang berbeza.
Pada masa yang sama, perkembangan di Bemban menunjukkan bahawa PH dan Bersatu juga bersedia mempertimbangkan bentuk persefahaman tertentu mengikut keperluan pilihan raya.
Dengan itu, PRN Melaka sebenarnya memperlihatkan beberapa eksperimen penjajaran politik berlaku serentak: kerjasama BN–Pas yang lebih tersusun, serta persefahaman terhad antara PH dan Bersatu di kerusi tertentu.
Implikasinya terhadap PRU16 masih terlalu awal untuk dipastikan. Namun PRN Melaka akan memberikan petunjuk penting tentang beberapa perkara: sejauh mana undi boleh dipindahkan antara parti yang bekerjasama, bagaimana akar umbi menerima bekas lawan politik, dan sama ada kerjasama taktikal di peringkat negeri boleh berkembang menjadi persefahaman yang lebih luas. Selain itu, apa bentuk perkongsian kuasa selepas kejayaan yang dicapai dalam PRN nanti.
Dengan itu, PRN Melaka bukan sekadar pilihan raya untuk menentukan kerajaan negeri. Ia juga menjadi medan untuk menilai sejauh mana model-model kerjasama baharu ini benar-benar diterima oleh pengundi sebelum parti-parti politik memasuki PRU16.
* Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi) Yayasan Strategik Lestari (YSL) dan pemerhati politik semasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
