Pengarah Eksekutif LWHPP parah ditetak

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) parah ditetak sekumpulan individu dalam satu kejadian di hadapan kediamannya di Taman Alma, Machang Bubok di sini pada malam Jumaat.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam itu menyebabkan Datuk M Ramachandran, 70, cedera di bahagian leher, paha, belakang kepala serta badan akibat diserang dengan senjata tajam.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa sedang turun dari kereta untuk masuk ke dalam rumahnya sebelum diserang oleh empat orang lelaki.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam bagi mendapatkan rawatan.

"Setakat ini, mangsa dilaporkan stabil dan siasatan lanjut berhubung kes ini masih lagi dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Orang awam yang melihat kejadian itu diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sobirin di talian 018-2926844 untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy menyifatkan serangan terhadap Ramachandran dianggap sebagai serangan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan berhubung kejadian ini termasuk mengesan mereka yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai wakil kerajaan negeri saya memberi jaminan kepada orang India Pulau Pinang untuk mengesan dalang di sebalik serangan ini," katanya.