Jentera rosak: Kami guna gear 4, asal sampai ke kawasan terbakar, kata PBS

No Image Caption
A
A
A

GOMBAK - Jentera rosak bukan halangan buat Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gombak meneruskan perjalanan menuju ke tapak kebakaran sebuah kilang di kawasan perindustrian Batu Caves, Khamis lalu.

Setiausaha PBS Gombak, Mohd Faizal Adnan berkata, dalam kejadian jam 3 pagi itu, jentera yang dinaiki mereka tiba-tiba mengalami masalah pada bahagian gear disebabkan klac pam.

"Walaupun gear tak boleh masuk, kami tetap teruskan perjalanan kerana kawasan itu sudah dekat dengan guna gear empat saja.

"Bagi kami, asalkan kenderaan kami bergerak, itu sudah baik," katanya berkongsi cerita.

Jentera masih dibengkel untuk dibaiki. Gambar kecil: Faizal
Jentera masih dibengkel untuk dibaiki. Gambar kecil: Faizal

Menurutnya, masalah kerosakan pada jentera itu adalah kali kedua dalam tempoh lima tahun.

"Jentera terpakai ini sudah kami gunakan sejak 2012 yang disumbangkan JBPM namun penyelenggaraannya di bawah tanggungjawab kami yang berstatus pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Jentera ini banyak jasa menggerakkan aktiviti kami selain membantu pasukan bomba semasa operasi menyelamat di Gombak dan Selangor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya terpaksa berkongsi jentera dengan PBS Kepong Batu dan Sentul sementara menunggu jentera dibaiki mereka siap dibaiki.

"Kami tiada pilihan lain dan perlukan jentera dalam keadaan siap sedia memandangkan Gombak banyak kes dan Alhamdulillah berjaya mengelak sebuah rumah terbakar disebabkan pembakaran sampah terbuka beberapa hari lalu.

"Kami perlukan kira-kira RM10,000 untuk kos membaiki dan penyelenggaraan serta cadangan mengecat dan menukar tayar jentera itu," katanya.

Katanya, pihaknya pernah membuat permohonan untuk penggantian jentera daripada JBPM namun perlu menunggu sehingga tempoh jentera itu dilupuskan.

Orang awam yang ingin menyumbang bagi kos penyelenggaraan jentera boleh menyalurkannya melalui akaun CIMB 8602252643 di bawah Persatuan Pasukan Bomba Sukarela Kampung Simpang 3, Gombak Selangor.