'Bukan semua perkara berkaitan Islam bawah Mahkamah Syariah'

Shad Saleem Faruqi
Shad Saleem Faruqi
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak semua perkara berkaitan Islam termasuk kes jenayah terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah dan kerajaan negeri, kata pakar perlembagaan, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Beliau berkata, banyak isu yang berada dalam bidang perundangan Islam antaranya seperti kontrak, perkongsian, jual beli, pinjaman bank, undang-undang tanah dan jenayah adalah tertakluk di bawah undang-undang Persekutuan.

Katanya, bidang kuasa mahkamah syariah di sembilan negeri di Malaysia adalah terbatas hanya dalam 25 perkara yang dikhususkan antaranya perkahwinan, undang-undang keluarga, pewarisan dan isu berkaitan moral penganut.

“Saya harus menjelaskan, menjadi kepercayaan banyak pihak bahawa kesemua perkara berkaitan Islam berada bawah kuasa negeri. Ia agak tidak betul.

“Ini kerana banyak perkara seperti kontrak, jual beli, pinjaman bank, keselamatan sosial, undang-undang tanah adalah di bawah kuasa persekutuan meskipun isu tersebut turut terdapat dalam perundangan sivil Islam.

“Kebanyakan kesalahan jenayah juga berada di bawah kuasa Persekutuan,” katanya ketika memberikan ceramah dalam program bersiri Politik Malaysia dan Isu Awam bertajuk Islam dan Perlembagaan yang diadakan secara maya pada Khamis.

Acara anjuran bersama Sekolah Seni dan Liberal Sains Universiti Taylor dan zubedy's Unity and Harmony Mediators Movement (Mediators) itu dimoderatokan oleh penulis dan blogger, Anas Zubedy.

Shad yang juga merupakan penyandang Kursi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya (UM) berkata, kuasa kerajaan negeri tidak sepatutnya meliputi perkara yang tertakluk di bawah undang-undang persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Benar, kadang kadang ada undang-undang negeri yang mengikut kepentingan awam dan secara moralnya adalah baik.

“Misalnya, ada negeri yang mewajibkan ujian HIV bagi pasangan yang ingin berkahwin. Sangat bagus. Tetapi penyakit berjangkit adalah perkara di bawah persekutuan. Jadi perlu diletakkan di bawah undang-undang persekutuan,” jelasnya.

Shad berkata, mahkamah sivil bagaimanapun tidak memiliki kuasa untuk campur tangan dalam 25 perkara yang tertakluk di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Namun, beliau menjelaskan bahawa persoalan mengenai ruang lingkup pembahagian bidang kuasa antara negeri dan Persekutuan adalah terbuka untuk dinilai dan ditentukan di mahkamah atasan.

“Contoh yang boleh diberikan adalah seperti kes Iki Putra iaitu jenayah homoseksual (seks luar tabii) adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan,” ujarnya.

Pada 25 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah adalah tidak sah dan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim ketika penghakimannya berkata, hanya Parlimen memiliki bidang kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.