X

Kindly register in order to view this article
!

Peng Soon, Liu Ying masih ada aura pingat

IMBAS KEMBALI...Peng Soon dan Liu Ying memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016.
A
A

BEREGU badminton campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mempunyai potensi untuk sekali lagi menghadiahkan pingat buat kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj berkata, gandingan ketujuh dunia itu perlu mengelak sebarang tekanan bagi memastikan mereka mampu beraksi cemerlang.

“Bagi saya, pasangan ini ada peluang terbuka untuk menang (pingat). Emas atau pingat lain saya tak boleh komen sebab keadaan sekarang sangat berbeza.

“Jadi apa perlu mereka lakukan ketika ini adalah memberikan sepenuh perhatian ketika turun ke gelanggang untuk mencatatkan kemenangan.

“Mereka perlu ingat, semua pemain berdepan situasi yang sama. Siapa yang bermain baik pada hari perlawanan, maka dialah yang akan menang,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Pada Olimpik Rio 2016, Peng Soon-Liu Ying melakar sejarah tersendiri apabila melangkah ke final sebelum terpaksa akur dengan kehebatan pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir apabila tewas 14-21, 12-21.

Sebelum itu, Peng Soon-Liu Ying yang membuat penampilan ketiga di pentas Olimpik terkandas dalam aksi peringkat kumpulan pada edisi London 2012.

Bagi edisi kali ini, beregu profesional negara itu diundi berada dalam Kumpulan D bersama gandingan China, Wang Yilyu-Huang Dongping; Tang Chun Man-Yse Ying Suet (Hong Kong) dan Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich (Jerman).

“Mereka harus bermula baik pada aksi peringkat kumpulan bagi membina momentum jika melepasi pusingan seterusnya. Jadi nasihat saya, mereka harus kekal fokus sebaik mengharungi perlawanan pertama.

“Saya percaya mereka sudah biasa dengan tekanan, sama ada tekanan di gelanggang, mahupun tekanan dari luar gelanggang. Yang penting fokus mereka di tengah gelanggang tidak hilang,” ujarnya.

Peng Soon-Liu Ying dijadualkan menentang Chun Man-Ying Suet dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Musashino Forest Sport Plaza pada Sabtu ini.

Mengenai peluang jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia dalam acara perseorangan lelaki, James berkata, laluan bagi pemain berusia 23 tahun itu dilihat agak sukar.

Menurut James, biarpun berada dalam satu kumpulan dengan pemain dari Perancis serta Jerman, namun Zii Jia dijangka berdepan jaguh China, Chen Long yang juga pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016 itu pada pusingan 16.

“Bagi saya, laluan Zii Jia juga dilihat agak sukar. Kalau pun dia berjaya tewaskan Chen Long, laluannya di suku akhir akan lebih mencabar dengan kehadiran pemain-pemain lain,” katanya.

Sementara itu, James menjangkakan gandingan beregu lelaki, Aaron Chia, Soh Wooi Yik dilihat mempunyai peluang cerah untuk mara berbanding beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan perseorangan wanita, Soniia Cheah.

Bagaimanapun katanya, sekiranya mereka mampu memberikan aksi yang konsisten, tidak mustahil untuk mereka mara lebih jauh dalam acara badminton di Sukan Olimpik Tokyo 2020, kali ini.

“Bagi saya Aaron Chia-Soh Wooi Yik mungkin ada peluang, tapi bagi Mei Kuan-Meng Yean dan juga Soniia mungkin agak sukar.

“Ini kerana tidak ada kejohanan untuk mengukur kemampuan mereka dan sebab itu saya hanya boleh kata, mereka perlu bermain dengan baik, fokus dan seterusnya menghasilkan kejayaan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!