X

Kindly register in order to view this article
!

'Fokus misi walaupun Tokyo 2020 mungkin dibatalkan'

Muhyiddin (atas, tengah) mengibarkan Jalur Gemilang bersama atlet dan tetamu yang hadir pada Flag-Off Kontinjen Negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 di KLIA baru-baru ini.
A
A

KESEMUA atlet negara dinasihati untuk mengekalkan fokus masing-masing dalam usaha mencapai keputusan terbaik pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 biarpun temasya sukan terbesar dunia itu berdepan kemungkinan dibatalkan berikutan peningkatan kadar kes Covid-19 ketika ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, atlet juga perlu memastikan mereka terus bersemangat bagi mengharungi Sukan Olimpik kali ini dan sekali gus membawa pulang kejayaan yang dicita-citakan.

“Seperti yang saya nasihatkan kepada atlet, sebelum kita pergi pun kita dalam ‘bubble’ (gelembung), selain mereka juga telah pun melaksanakan disiplin kendiri.

“Bagi saya, tiada masalah kerana mereka dah selalu ikut SOP (prosedur operasi standard), sebelum ini dan diharapkan mereka akan terus mengekalkan disiplin itu sampai habis Olimpik nanti.

“Bagaimanapun, jangan pula apabila berada di sana (Tokyo), mereka tiba-tiba bertindak mengurangkan pematuhan di sana, namun daripada laporan yang diterima setakat ini atlet-atlet kita mengekalkan tahap disiplin tinggi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Ketua Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo, Toshiro Muto pada Selasa menyatakan adalah tidak mustahil untuk temasya sukan itu dibatalkan pada saat-saat akhir sekiranya kes Covid-19 terus menunjukkan peningkatan.

Pada masa sama Mohamad Norza turut menegaskan bahawa setakat ini pihaknya juga masih belum menerima apa-apa keputusan daripada pihak Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) berhubung perkara berkenaan.

Justeru katanya, pihak jawatankuasa, sekretariat MOM akan terus melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan keselamatan serta kebajikan atlet negara terjaga.

“Kita akan cuba yang terbaik bagi menguruskan pelbagai perkara dan mereka (atlet) hanya perlu memberikan fokus melaksanakan tanggungjawab mereka bagi membawa pulang kejayaan,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!