'Tunjuk bukti jika saya berhutang'

Chon Siang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Rabu dan meminta pihak berkaitan tampil menemuinya.
Chon Siang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Rabu dan meminta pihak berkaitan tampil menemuinya.
A
A
A

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang menafikan dakwaan bahawa beliau berhutang dan tidak membayar hutang selama lapan bulan.

Katanya, dakwaan itu tidak benar dan bertujuan untuk mengaibkan nama serta reputasinya sebagai seorang wakil rakyat.

Beliau menyifatkan perbuatan itu adalah fitnah dan mengkritik sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab pihak berkaitan.

"Saya tidak pernah berhutang dengan sesiapa. Pihak yang memaparkan poster tersebut telah membuat tuduhan palsu terhadap saya. Jadi saya gesa pihak yang menuduh tampil dan tunjukkan bukti itu (ada membuat pinjaman).

"Saya tidak kisah untuk membayar pampasan sebanyak lapan kali ganda kepada pihak yang menuduh itu, jika dakwaan tersebut benar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Rabu.

Pada Selasa, kira-kira jam 6.36 petang, Chon Siang menerima panggilan telefon daripada seorang wartawan bertanya mengenai sekeping poster mengandungi gambarnya yang tular di laman sosial Facebook.

Poster tersebut mendakwa dirinya berhutang dan identiti pengenalan dirinya turut disebarkan di dalam poster berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Chong Siang menjelaskan, poster tersebut telah memaparkan maklumat peribadinya kepada orang awam dan mengugat keselamatan dirinya sekeluarga.

"Tindakan menyiarkan maklumat peribadi saya secara awam dalam poster itu tanpa kebenaran saya telah menyalahi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Personal Data Protection Act 2010).

"Perbuatan seperti itu juga boleh menyebabkan maklumat peribadi saya disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap pihak terlibat secepat mungkin.