X

Kindly register in order to view this article
!

Beranikah Muhyiddin rombak kabinet PN?

Tumpuan rakyat kini terarah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada beliau mempunyai keberanian merombak Kabinet kerajaan PN dan 'merehatkan' Azmin atau tidak.
A
A

PADA Jumaat, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan pembentukan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi menggantikan fungsi Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara (JKPPN).

Fungsi MPN yang bakal dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin difahamkan masih lebih kurang sama dengan JKPPN.

Penubuhan majlis yang bebas politik ini juga sebagai salah satu strategi terkini dirangka kerajaan PN susulan kes jangkitan Covid-19 sudah melewati angka 10,000 sejak empat hari berturut-turut.

Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz difahamkan sudah mula mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin pembangkang daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang) termasuk Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mendapatkan buah fikiran mereka mengenai keperluan MPN.

Bagi penulis, inisiatif kerajaan PN untuk melaksanakan MPN – meskipun didakwa meniru idea Dr Mahathir mencadangkan penubuhan kerajaan interim seakan-akan Majlis Gerakan Negara (Mageran) – mungkin bertepatan pada saat rakyat semakin bimbang dengan penularan Varian Delta yang semakin mengganas.

Bagaimanapun, inisiatif itu dilihat masih gagal membendung persepsi negatif dan kemarahan rakyat terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin sendiri pada ketika ini.

Hal ini disebabkan beberapa keputusan kabinet kerajaan PN sebelum ini yang dilihat tidak memihak kepada golongan marhaen dan sekadar menguntungkan pihak kapitalis.

Sebagai contoh, keputusan Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) mempertahankan pembukaan sektor perkilangan pada saat rakyat dikenakan arahan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sepanjang Fasa 1 PPN ketika ini.

Keputusan itu dilihat sebagai pencetus utama amarah sebilangan besar rakyat Malaysia terhadap kerajaan PN ketika ini, lebih-lebih lagi laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kluster perkilangan dan tempat kerja menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan kes Covid-19.

Tidak cukup dengan itu, rakyat juga mempersoalkan tindak-tanduk beberapa menteri termasuk Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang dianggap tidak sensitif terhadap rintihan rakyat serta pengorbanan golongan petugas barisan hadapan.

Beberapa penganalisis politik berpandangan inisiatif kerajaan PN memperkenalkan MPN bagi membendung krisis Covid-19 sahaja tidak cukup untuk meredakan kemarahan rakyat.

Sebaliknya Muhyiddin perlu mengambil keputusan berani untuk merombak kabinet kerajaan PN yang turut dikritik kerana memiliki jumlah menteri dan timbalan menteri teramai mencecah 70 orang.

Memandangkan Muhyiddin berkemungkinan akan terus bertahan sebagai Perdana Menteri meskipun beliau hebat diasak pihak pembangkang termasuk UMNO untuk meletak jawatan, senario itu dijangka tidak kekal lama sekiranya kerajaan masih enggan berubah.

“Hal ini ditambah dengan keputusan Muhyiddin melantik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri pada saat kes Covid-19 semakin di luar kawalan.

“Rombakan kabinet perlu dilaksanakan segera oleh Muhyiddin dalam masa terdekat sebagai isyarat kerajaan PN peka dengan rintihan kekecewaan rakyat...Rombakan sebelum ini tidak cukup.

“Muhyiddin juga perlu berani menggugurkan Mohamed Azmin dan Dr Adham sekiranya beliau mahu kerajaan PN kembali mendapat keyakinan rakyat,” kata penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussein kepada Sinar Harian.

 Profesor Dr Ahmad Atory Hussein
Profesor Dr Ahmad Atory Hussein

Bagaimanapun, persoalan paling utama, adakah Muhyiddin sanggup menggugurkan Mohamed Azmin yang memberi nyawa politik kepada beliau sewaktu pembentukan kerajaan PN?

Ahmad Atory mengakui senario itu merupakan dilema besar dihadapi Muhyiddin, lebih-lebih lagi selepas Mohamed Azmin diketepikan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada wakil kepada 41 ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) iaitu Ismail Sabri.

“Pada saat kerajaan Muhyiddin tidak begitu stabil akibat tekanan politik UMNO, pastinya sebarang keputusan yang memberi impak negatif terhadap rakan koalisi dibimbangi bakal membawa padah kepada beliau kelak.

“Namun, pada saat genting ketika ini, Muhyiddin dan Mohamed Azmin perlu mengenepikan kepentingan politik, sebaliknya akur dengan kehendak rakyat yang mahukan Menteri MITI itu ditukar.

“Tiada guna jaga hati pemimpin tertentu jika kerajaan itu akhirnya digulingkan sendiri oleh rakyat. Saya yakin Muhyiddin tidak mahu keadaan sebegitu berlaku dan menyedari rombakan kabinet besar-besaran adalah solusi terbaik,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Tawfik Yaakub pula berkeyakinan Muhyiddin ada keberanian untuk ‘menurunkan pangkat’ Mohamed Azmin dan Dr Adham dalam kabinet untuk digantikan dengan pemimpin lain yang lebih berkebolehan.

Jelas beliau, meskipun keputusan itu dibimbangi akan mencetuskan perpecahan dalam kerajaan PN, beliau yakin Mohamed Azmin tidak akan membuat keputusan menarik keluar sokongan beliau dan sebilangan pengikutnya daripada kerajaan PN.

“Saya fikir Mohamed Azmin pun sedar, rakyat bukan marah sangat terhadap Perdana Menteri, tetapi mereka terkilan dengan sikap beliau terus mempertahankan pihak kapitalis pada saat ramai orang menderita akibat PKP dan PKPD.

“Pada saat genting ini, Muhyiddin mungkin boleh melantik Mohamed Azmin sebagai seorang menteri tidak berportfolio, pada masa sama mempromosi beberapa ahli Parlimen yang setia bersama Pengarah Pilihan Raya PN itu untuk menggalas jawatan Kabinet dalam rombakan akan datang.

“Kaedah ini boleh memastikan Mohamed Azmin kekal menyokong Muhyiddin, pada masa sama meredakan api kemarahan rakyat pada saat negara bergelut mendepani krisis Covid-19,” katanya.

Mengulas mengenai calon pengganti Mohamed Azmin dan Dr Adham yang sesuai, Mohamad Tawfik berpandangan dua jawatan kementerian penting iaitu MITI dan KKM perlu dilantik daripada kalangan profesional dan pakar dalam bidang berkenaan.

Dr Mohammad Tawfik
Dr Mohammad Tawfik

Jelas beliau, keputusan itu penting bagi memastikan dua kementerian ini dapat meneruskan kesinambungan pencapaian cemerlang Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), Khairy Jamaluddin dalam mempercepatkan program vaksinasi rakyat ketika ini.

“Datuk Seri Mustapha Mohamad boleh diangkat sebagai pengganti Mohamed Azmin yang ideal, manakala bagi jawatan Menteri Kesihatan pula, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah adalah calon terbaik bagi mengemudi usaha negara memerangi pandemik Covid-19.

“Selain itu, Muhyiddin kena rehatkan juga beberapa lagi menteri dan timbalan menteri yang tidak 'perform' supaya fokus kerajaan hanya tertumpu kepada usaha menangani masalah ekonomi dan pandemik,” katanya.

Selain keperluan ‘merehatkan’ beberapa menteri, Muhyiddin turut disaran mengecilkan saiz kabinet kerajaan ketika ini sebagai komitmen PN untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

“Rakyat tertanya-tanya apa guna ada kabinet kerajaan yang besar jika sekiranya mereka dilihat gagal membantu kerajaan mencari jalan terbaik menyelesaikan krisis Covid-19?

“Ramai menteri dilihat tidak mempunyai tanggungjawab portfolio yang berkait langsung dengan krisis Covid-19 dan fungsi mereka seolah-olah tenggelam.

“Kerajaan kena cari jalan untuk libatkan kesemua mereka kerana fungsi kementerian masing-masing mungkin boleh diselaraskan semula agar bersesuaian dengan keperluan semasa,” kata penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain.

Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain
Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain

Selain itu, Mohd Izani mempersoalkan keberkesanan penglibatan pakar-pakar yang terlibat dalam jawatankuasa khas menangani krisis Covid-19 dibentuk kerajaan sebelum ini, susulan suara mereka seolah-olah tenggelam.

Tambahnya, beliau hairan suara tokoh-tokoh penting seperti Tan Sri Dr Jemilah Mahmood yang dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai bidang kesihatan awam, tidak lagi kedengaran pada saat khidmat nasihat mereka amat didambakan.

“Adakah suara mereka tenggelam kerana ada ‘Little Napoleon’ dalam pentadbiran negara yang tidak mengendahkan sebarang idea diberikan dan hanya mahu bersikap autokratik?

“Perkara ini perlu dijelaskan oleh kerajaan PN...Sekiranya dakwaan berkenaan ada kebenaran, saya bimbang usaha kerajaan memenangi perang terhadap krisis Covid-19 melalui penubuhan MPN juga menemui jalan buntu kelak,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!