X

Kindly register in order to view this article
!

Asrama pelajar UUM terbakar

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan api bagi mengelak merebak ke tingkat bawah. - Foto JBPM KEDAH
A
A

SINTOK - Sebuah blok asrama pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini musnah 80 peratus dalam kebakaran yang berlaku pada pagi Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, kebakaran membabitkan asrama di tingkat tiga bangunan tersebut.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.55 pagi dan sepasukan 13 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam dan Jitra tiba di lokasi pada jam 11.08 pagi.

"Empat bilik musnah sekitar 80 hingga 90 peratus. Api berjaya dikawal pada jam 11.20 pagi dan siasatan lanjut punca kebakaran masih dijalankan," katanya dalam kenyataan akhbar pada Selasa.

Sayani berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu kerana tiada pelajar di asrama ketika kejadian.

Tingkat tiga bangunan blok asrama UUM yang musnah 80 peratus dalam kebakaran pagi Selasa. - Foto JBPM KEDAH
Tingkat tiga bangunan blok asrama UUM yang musnah 80 peratus dalam kebakaran pagi Selasa. - Foto JBPM KEDAH

Sementara, Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, kebakaran membabitkan blok Inapan Siswa (INASIS) Maybank dan pelajar terlibat ditempatkan di penginapan baharu di blok berhampiran.

"Bagi meringankan beban mereka, pihak universiti memberikan bantuan wang tunai termasuk sumbangan Food Bank berupa barangan keperluan asas serta membantu menguruskan penggantian dokumen perjalanan yang musnah dalam kebakaran. Kita turut sediakan khidmat sokongan kaunseling," katanya.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan warga kampus khususnya pelajar, dan turut menekankan pelbagai aspek keselamatan termasuk kawalan kebakaran bangunan.

"Aspek keselamatan di keseluruhan bangunan kampus memenuhi piawaian terkini ditetapkan pihak bomba.

Kami bersyukur tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan di INASIS terbabit," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!