X

Kindly register in order to view this article
!

Tengku Zafrul berpotensi menang di Lembah Pantai jika jadi calon UMNO

Raja Nong Chik (kiri) berpendapat Tengku Zafrul berpeluang cerah untuk memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada PRU15 sekiranya bertanding sebagai calon UMNO.
A
A

SHAH ALAM – Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berpeluang cerah untuk memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya bertanding sebagai calon UMNO.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, jentera UMNO di kawasan Lembah Pantai amat kuat berbanding sekiranya Tengku Zafrul bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

“Tengku Zafrul perlu mengharapkan jentera Pas. Jentera (PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sangat terhad, baru ditubuhkan dua, tiga tahun ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai desas-desus Tengku Zafrul akan bertanding di Lembah Pantai.

Raja Nong Chik menambah, walaupun Tengku Zafrul bukan ahli parti, UMNO akan menyokong menteri itu sekiranya beliau bertanding atas tiket UMNO.

“Bersatu juga akan sokong dia sebab beliau (menteri) di bawah kerajaan PN. Pas akan sokong dan sedikit sebanyak saya rasa dari segi latar belakang boleh memenangi pengundi India dan Cina,” katanya.

Menurutnya, Tengku Zafrul berpeluang menghakis sokongan pengundi Cina dan India yang menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan terbabit.

“Beliau pernah membesar dan tinggal di Lembah Pantai,” katanya.

Selain itu, Raja Nong Chik berkata, UMNO Lembah Pantai juga boleh menerima sekiranya Tengku Zaful menjadi calon kawasan itu.

“Saya ada berbincang dengan mereka dan jika Tengku Zafrul mereka boleh terima tapi atas tiket UMNO.

“Tidak boleh tiket lain, kalau tiket lain susah. Pucuk pimpinan akan pilih orang lain. Takkan UMNO kena sokong calon PN pula,” jelasnya.

Beliau berkata, ini kerana UMNO telah membuat keputusan untuk tidak akan bersama dengan Bersatu dalam PRU15.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!