PDRM bukan 'punching bag'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

DASAR utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967, kewajipan asasi anggota polis antaranya adalah memelihara undang-undang dan ketenteraman, selain mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.

Uniknya PDRM berbanding kebanyakan pasukan polis negara luar ialah kewujudan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang turut merangkumi tugas-tugas bukan kepolisan tradisional.

Pasukan-pasukan PGA dan 69 Komando umpamanya terlibat dalam pelbagai operasi ‘non regulatory’. Operasi ketika Darurat dan di Lahad Datu pada 2013 membuktikan fakta tersebut.

Sejak bermulanya pandemik Covid 19 di negara ini, PDRM dipanggil untuk mengekalkan ketenteraman awam selain mengawal wabak daripada terus menular di dalam negara.

Dianggap sebagai sebahagian daripada petugas baris hadapan, pegawai dan anggota PDRM sinonim dengan Sekatan Jalan Raya atau SJR dan rondaan penguatkuasaan aktiviti cegah penularan wabak.

Pelbagai operasi dilaksana PDRM dianggap sebagai selaras dengan ‘norma baharu’, iaitu terma yang dilaungkan oleh pihak kerajaan.

Antara cabaran paling utama dihadapi PDRM adalah persepsi masyarakat terhadap pelaksanaan dan penguatkuasaan norma baharu itu.

PDRM merupakan pelaksana dasar yang ditetapkan oleh parti politik berkerajaan terkini. Sebarang kegagalan dalam dasar dan keseragaman polisi yang ditetapkan oleh pihak kerajaan bakal memberi implikasi langsung kepada agensi yang diarah menjadikannya satu realiti.

Artikel Berkaitan:

Sejak bermulanya pandemik Covid-19, umum berulang kali disajikan dengan pelbagai insiden bila mana seakan terdapat percanggahan antara mereka yang membuat polisi, kefahaman dalam kalangan kementerian, pihak bergelar ‘kluster kayangan’ dan pelaksanaan di lapangan oleh PDRM.

Kita perlu faham bahawa norma baharu sebenarnya tidak hanya terhad kepada Covid-19. Norma baharu hari itu turut menyaksikan pemilikan peranti komunikasi oleh umum yang mampu merakam dan menyebarkan maklumat pelbagai dengan hanya satu sentuhan jari yang boleh diakses secara global.

Jika berlaku kecelaruan antara pembuat polisi, kefahaman kementerian dan pelaksana akibat dari kurangnya komunikasi efektif, lazimnya pihak PDRM adalah pihak pertama menerima bahangnya.

Imej PDRM kerap tercalar apabila rakaman audio atau video disebarkan mengenai insiden salah faham serta salah laku segelintir warganya. Benarlah pepatah Melayu mengatakan bahawa, ‘akibat nila setitik, rosaklah susu sebelanga’.

Contohnya warga PDRM kerap ditonjolkan sebagai penerima rasuah, namun umum seakan menutup mata dan telinga terhadap mereka yang memberi rasuah.

Walhal data Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa untuk tahun 2019, tangkapan terhadap pemberi rasuah meningkat sehingga 79 peratus! Apakah pemberi rasuah ini juga merupakan warga PDRM?

Apa yang pelik, jarang sekali kumpulan politik dan kementerian yang terlibat dalam merangka polisi di peringkat tinggi dilabel sepertimana PDRM apabila sesuatu isu dibangkitkan oleh masyarakat. Mungkin akibat dari ini, pada September 2020, mantan Ketua Polis Negara menyuarakan kekecewaan beliau secara terbuka mengenai rasuah politik kepada pihak media.

Pihak Institut Tadbiran Negara (INTAN) yang menghasilkan warga kementerian dan penasihat berkaitan dasar negara kepada parti politik berkerajaan seharusnya lebih peka kepada kemelut itu.

Institut Tadbiran Negara sememangnya mempunyai kolaboratif strategik dengan PDRM melalui institusi latihan tertinggi PDRM di bawah komponen pengukuhan diri kepada peserta Pascasiswazah Pengurusan Awam INTAN.

Objektif pengisian Modul Pengurusan Ketenteraman Awam adalah membentuk pegawai tadbir diplomatik (PTD) yang berpengetahuan serta memiliki aspek kemahiran yang tinggi dalam menguruskan situasi ketenteraman awam dengan menggunakan kaedah yang terbaik dan mampu mengurangkan impak krisis ketenteraman awam.

Apakah dasar pihak kerajaan dan kementerian berkaitan pandemik Covid-19 yang melibatkan PDRM mengambil kira input diberi oleh pegawai PTD berkelayakan lulus daripada institusi yang sedemikian serta pegawai-pegawai kanan PDRM yang berpengalaman?

Mungkin juga input sedemikian tidak diberi perhatian oleh pihak tertentu yang mementingkan populariti serta faedah jangka pendek tanpa mengambil kira kesannya terhadap persepsi masyarakat terhadap PDRM.

Kita harus ingat bahawa selepas ATM, PDRM adalah baris hadapan kedua diharapkan untuk mempertahankan negara daripada musuh dalam dan luar negara.

Menjadikan PDRM sebagai ‘punching bag’ oleh mana-mana pihak yang berkepentingan apabila timbul sesuatu masalah bakal mengundang padah terhadap serta persepsi masyarakat dan keselamatan negara.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik