Kelonggaran SOP individu lengkap dos vaksin diumumkan selepas Aidiladha: TPM

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan mengumumkan kelonggaran kepada individu yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 selepas Hari Raya Aidiladha, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perkara itu sedang diteliti jawatankuasa teknikal bagi memastikan jenis kelonggaran yang akan dibenarkan kepada golongan itu.

"Kita juga sedang mengkaji sektor perniagaan mana yang boleh dilonggarkan. Perkara ini kita sedang teliti," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan inisiatif Mindef Prihatin di Wisma Pertahanan di sini pada Isnin.

Ketika ditanya nasib mereka yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan, Ismail Sabri berkata, perkara itu akan dirujuk kepada Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, mengenai cadangan menaikkan kompaun kepada kilang yang melanggar prosedur operasi standard (SOP), Ismail Sabri berkata, kadar itu tertakluk kepada pindaan Ordinan Darurat.

Beliau berkata, di bawah Ordinan Darurat, kerajaan sebelum ini telah menaikkan kompaun RM1,000 di bawah Akta 342 kepada RM50,000.

"Darurat akan tamat pada 1 Ogos ini dan kita (kompaun) akan kembali kepada RM1,000," katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan sebelum itu melancarkan program 'Mindef Prihatin' bagi membantu meringankan beban anggota dan veteran tentera yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sumbangan daripada anak syarikat Kementerian Pertahanan, Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) dan sektor perbankan akan diagihkan dalam bentuk makanan asas serta ditempatkan di masjid untuk kegunaan mereka yang terjejas.

"Program ini kita luaskan bukan sahaja kepada anggota tetapi juga veteran dan orang ramai yang menghadapi kesusahan. Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia untuk membantu rakyat bukan perkara baharu kerana sebelum ini ada program jiwa murni dan kita sentiasa prihatin dengan kesusahan rakyat," katanya. - Bernama