Tamatkan subkontrak helikopter FDS

Kesemua mangsa nahas helikopter FDS yang terhempas di STOLport Long Lellang, pedalaman Baram pada Selasa disahkan meninggal dunia. Gambar kecil: Nik Ahmad Huzlan
Kesemua mangsa nahas helikopter FDS yang terhempas di STOLport Long Lellang, pedalaman Baram pada Selasa disahkan meninggal dunia. Gambar kecil: Nik Ahmad Huzlan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran menamatkan kebergantungan terhadap sistem subkontrak bagi helikopter perkhidmatan doktor udara (FDS) dengan mempertimbangkan pengurusan aset dan operasi secara langsung oleh agensi di bawahnya.

Bekas Ketua Juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan aspek keselamatan, penyelenggaraan pesawat dan kebajikan kru diberi perhatian secara menyeluruh.

Menurutnya, penggunaan aset kerajaan juga membolehkan helikopter berkenaan dimanfaatkan untuk pelbagai operasi kecemasan, sekali gus menjadikannya lebih berbaloi dari segi penggunaan dan kos kepada negara.

“Jika di bawah bomba, tahap kawal selia dan latihan akan lebih tinggi berbanding sistem subkontrak.

“Saya bukan hendak menuduh atau mengatakan siapa yang salah. Saya cuma rasa sedikit kecewa kerana sistem kita mungkin tidak cukup menyokong pekerja atau kakitangan yang bertugas dalam skop ini.

“Sepatutnya mereka menjadi keutamaan. Pendek kata, kita suruh orang pergi perang tetapi kita beri dia pisau, sedangkan orang lain menggunakan senapang,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, setiap insiden perlu disiasat bagi mengenal pasti unsur kecuaian atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, jika wujud kecuaian sehingga menyebabkan pesawat terhempas, tindakan sewajarnya perlu diambil.

“Perkara ini perlu disiasat oleh Jabatan Penerbangan Awam dengan meneliti aspek helikopter, latihan juruterbang dan perkara berkaitan.

Artikel Berkaitan:

“Selepas itu barulah kita boleh membuat kesimpulan jika ada asas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak semua helikopter dilengkapi kotak hitam kerana keperluannya bergantung pada tahap operasi, jenis penerbangan dan lesen yang digunakan.

“FDS pula bersifat ad hoc dan banyak bergantung pada pertimbangan juruterbang mengikut keadaan semasa,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!