Tambah baik pengurusan, operasi TH tidak ganggu pendeposit

Tabung Haji
Tabung Haji
A
A
A

SHAH ALAM – Cadangan penambahbaikan pengurusan dan operasi Tabung Haji (TH) membabitkan kajian pihak berkaitan tidak akan mengganggu urusan harian pendeposit dan operasi TH.

TH dalam satu kenyataan berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1963, jumlah deposit meningkat daripada kira-kira RM46,000 kepada hampir RM82 billion pada hari ini.

Menurutnya, paras tersebut merupakan yang tertinggi dalam sejarah penubuhan TH lebih 58 tahun sekali gus menggambarkan keyakinan dan kepercayaan rakyat serta pendeposit terhadap agensi itu.

"TH kini berada pada landasan yang baik dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh dan stabil.

"TH juga sedang dan senantiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pendeposit yang mana lebih 80 peratus transaksi kewangan dilakukan secara dalam talian.

"Keyakinan dan kepercayaan ini adalah satu amanah yang amat berat dan TH perlu sentiasa berusaha untuk menambah baik dan mengukuhkan tadbir urus dan operasinya bagi menjaga kepentingan pendeposit," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, atas keperluan tanggungjawab tersebut, kerajaan telah mencadangkan untuk menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh dan ini akan melibatkan cadangan dasar model baharu operasi TH dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Ujarnya, cadangan model baharu operasi TH tersebut akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Bank Negara Malaysia (BNM) dan TH.

Artikel Berkaitan:

"TH menyarankan agar kajian menyeluruh oleh JPM, MOF, BNM dan TH perlu dibuat untuk menilai model operasi baharu yang dicadangkan, di samping mengambil kira kapasiti sedia ada TH termasuklah aset, liabiliti, kepakaran sumber manusia, dan lain-lain.

"Aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin khususnya para pendeposit," katanya.

Dalam kenyataan yang sama, TH juga turut mengesyorkan beberapa cadangan untuk memberi jaminan kepada umat Islam khususnya 8.3 juta pendepositnya.

"Antara cadangan tersebut ialah hak mutlak pengurusan dan operasi Haji terus kekal bersama TH, jaminan kerajaan ke atas deposit di TH di bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji tahun 1995 terus kekal untuk kepentingan para pendeposit dan penglibatan TH dalam sektor ekonomi berdasarkan tadbir urus, pengurusan dan operasi yang utuh.

"Selain itu, TH akan terus membuat penambahbaikan dari segi tadbir urus, pengurusan, operasi, dan pelaburan untuk kepentingan para pendeposit, selain terus kekal relevan melalui usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif ini," katanya.