X

Kindly register in order to view this article
!

PATI Indonesia didenda menyamar warga Malaysia dapat vaksin

Yanik dikawal ketat polis keluar dari lokap Mahkamah Majistret Jeli selepas didenda RM4,000 kerana kesalahan menggunakan kad pengenalan orang lain bagi mendapatkan vaksin Covid-19.
A
A

JELI - [DIKEMAS KINI] Angkara menyamar menggunakan kad pengenalan orang lain sehingga berjaya mendapatkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) wanita warga Indonesia serta suami warganegara Malaysia yang bersubahat didenda RM8,000 di Mahkamah Majistret di sini pada Ahad.

Majistret Mohamad Nashrudin Mohamed menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Yanik Setia Pratiwi, 36, dan Amiruzaman Ab Rahman, 59, selepas kedua-dua tertuduh mengaku salah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Berdasarkan pertuduhan pilihan pertama, Yanik Setia didakwa menggunakan kad pengenalan milik Nor Athirah Zaiki, 26, bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 pada 4 Julai lalu dan kesalahan kedua pada 13 Jun lalu di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jeli.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Yanik Setia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah mengenakan denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Yanik Setia dan mengarahkannya menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Amiruzaman pula didakwa pada dua pertuduhan bersubahat dengan isterinya itu yang menggunakan kad pengenalan orang lain tersebut di lokasi sama pada 13 Jun lalu dan 4 Julai lalu.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, Amiruzaman melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(m) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Dia dikenakan denda RM2,000 atau penjara enam bulan setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ho Zee Xing yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan serius yang dilakukan.

Peguam bela, Asmadi Abu Bakar yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun merayu bagi anak guamnya supaya hukuman diringankan tanpa hukuman penjara kerana mereka menjaga anak angkat yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Yanik Setia hanya bekerja sebagai pembantu kedai runcit manakala Amiruzaman pula bekerja kampung.

“Lelaki itu tidak tahu isterinya memegang kad pengenalan orang lain sehinggalah ketika mengambil vaksin di PDK,” katanya.

Hanya Amiruzaman yang menjelaskan denda dan dibebaskan.

Penyamaran itu terbongkar selepas pemilik sebenar kad pengenalan yang menetap di Sungkai, Perak membuat semakan MySejahtera pada 6 Julai lalu untuk mendapatkan vaksin Covid-19 namun terkejut apabila mendapati namanya sudah lengkap mendapat dua dos suntikan di Jeli.

Difahamkan, pemilik asal tercicir kad pengenalannya ketika dia berusia 12 tahun.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!