Dewan Rakyat: Ahli Parlimen boleh mencelah

Saifuddin (kanan) menyerahkan bungkusan makanan kepada wakil Huazhong selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bersama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazhong) secara maya pada Ahad.
Saifuddin (kanan) menyerahkan bungkusan makanan kepada wakil Huazhong selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bersama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazhong) secara maya pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Ahli Parlimen boleh mencelah dan bersoal jawab pada sesi sidang Khas Dewan Rakyat yang bermula 26 Julai ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, bagaimanapun keputusan untuk membenarkan sesuatu isu dibahaskan bergantung kepada keizinan Speaker Dewan Rakyat.

"Istilah sesi penerangan menteri itu bukan hanya menteri bercakap, semua ahli Parlimen mendengar sahaja.

"Setahu saya dalam 'standing orders' Parlimen membenarkan ahli Parlimen mencelah dan bertanya serta terserah kepada speaker untuk membenarkan sesuatu isu dibahaskan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Bersama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazhong) Pahang secara maya pada Ahad.

Pada Sabtu, beberapa ahli Parlimen pembangkang menggesa supaya memboikot mesyuarat khas Parlimen yang diumumkan bermula 26 Julai hingga 2 Ogos depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal Datuk Sofi Wahab berkata, mesyuarat khas yang tidak ada sesi soal jawab itu seolah-olah mahu memperbodohkan Ahli Parlimen kerana mereka tidak boleh mengutarakan pandangan atau krtikan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Saifuddin berkata, penggunaan sesuatu istilah yang digunakan dalam Parlimen perlu diperjelaskan supaya semua dapat memahami maksud sebenar.

"Kini peluang untuk saya dan pegawai perundangan menerangkan bagi memberi kefahaman kepada orang lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin sebelum itu memberitahu Parlimen Indera Mahkota sudah selesai mengagihkan 6,000 bakul makanan kepada penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Bakul makanan ini kita agihkan kepada dua pejabat penghulu dan 21 ketua kampung di Parlimen Indera Mahkota untuk mereka salurkan kepada mereka memerlukan," ujarnya.