100,000 surat kebenaran bergerak petani, penternak, nelayan

Dr Ronald melaksanakan tinjauan mesra di Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih di sini dan menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 100 nelayan. Foto Bernama
Dr Ronald melaksanakan tinjauan mesra di Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih di sini dan menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 100 nelayan. Foto Bernama
A
A
A

PUTATAN - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengeluarkan lebih 100,000 surat kebenaran bergerak kepada nelayan, petani dan penternak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, langkah itu bagi menjamin bekalan makanan negara sentiasa mencukupi untuk rakyat dan individu yang diberikan kebenaran di seluruh negara itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

"Mereka yang diberi kebenaran ini, kita kategorikan sebagai sektor informal yang diberi kebenaran kepada MAFI untuk pengesahan pergerakan. Ini berbeza dengan sektor industri agromakanan yang (surat kebenaran) dikeluarkan oleh MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

"Sektor industri itu MITI, sektor informal bagi individu terlibat sebagai nelayan, petani dan penternak itu dikeluarkan oleh MAFI. Ini penting bagi memastikan bekalan makanan kita tidak terganggu sepanjang pandemik dan kawalan pergerakan," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau sebelum itu melakukan tinjauan mesra di Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih di sini dan menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 100 nelayan di kawasan itu yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Terletak kira-kira 12 km dari Kota Kinabalu di pantai barat Sabah, Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih mula beroperasi pada tahun 2013 dan merupakan antara pasar nelayan yang aktif di Sabah dengan 20 hingga 35 bot nelayan mendaratkan serta menjual terus hasil tangkapan mereka.

Ronald turut mengumumkan peruntukan RM450,000 untuk menaik taraf pasar itu yang dicadang sebagai pusat sehenti bagi pemasaran ikan, pendaratan dan agropelancongan kerana lokasinya yang strategik dan berpotensi dimajukan bagi manfaat nelayan dan masyarakat setempat.

Sementara itu, dalam kenyataan sempena program itu, beliau berkata, bekalan ikan mencukupi dan stabil bagi memenuhi keperluan negara dengan purata bulanan bekalan ikan untuk tahun ini dijangka kekal stabil pada 169,000 tan metrik berbanding dengan keperluan sebanyak 125,000 tan metrik sebulan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sektor perikanan adalah antara sektor penting yang dibenarkan beroperasi tertakluk kepada pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menjamin kelangsungan rantaian perikanan serta pengusaha yang terlibat.

“Sebarang sekatan terhadap pengoperasian sektor perikanan boleh menyebabkan sekuriti makanan negara terjejas sekali gus meningkatkan kebergantungan import, keadaan ini akan menjejaskan sumber ekonomi nelayan tempatan dan keseluruhan rantaian perikanan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pendaratan ikan seluruh Sabah untuk enam bulan pertama tahun ini adalah 107,000 tan metrik dengan nilai RM643 juta, manakala untuk tempoh sama Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih merekodkan pendaratan hasil sebanyak 7,000 tan metrik dengan nilai RM35,000. - Bernama