Majikan disaran kecualikan pekerja terlibat PKPD hadir bekerja

Mohamad Noor melakukan pemeriksaan ke atas pengguna jalan raya yang melalui SJR di Jalan Tanjung Lumpur di sini berikutan pelaksanaan PKPD di kawasan itu bermula pada Ahad.
Mohamad Noor melakukan pemeriksaan ke atas pengguna jalan raya yang melalui SJR di Jalan Tanjung Lumpur di sini berikutan pelaksanaan PKPD di kawasan itu bermula pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Majikan bagi sektor perkhidmatan perlu disaran agar mengecualikan pekerja yang tinggal dalam lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk hadir bekerja dalam tempoh dua minggu bermula pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ia berikutan hanya pekerja dalam sektor keselamatan dan kesihatan sahaja dibenarkan keluar masuk dari kawasan PKPD sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) PKPD yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, ketika ini sebanyak 13 lokaliti di daerah Kuantan dikenakan PKPD bermula pada Ahad hingga 31 Julai depan.

Menurutnya, majikan perlu menentukan jumlah pekerja yang sesuai walaupun beroperasi di luar kawasan PKPD dengan jumlah pekerja tertentu dibenarkan.

"Sebaiknya bagi pekerja yang terlibat PKPD dikecualikan hadir bekerja bagi mengelak berlaku terlalu banyak pergerakan keluar masuk ke kawasan terlibat.

"Sekiranya perlu, majikan kena hadir ke balai polis untuk membuat permohonan dan sekiranya wajar, kelulusan akan diberikan," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran PKPD Bersasar Lokaliti Berisiko Daerah Kuantan di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Tanjung Lumpur di sini pada lewat malam Sabtu.

Mohamad Noor berkata, bagi perkhidmatan perlu selain sektor keselamatan dan kesihatan, mereka perlu mendapatkan kebenaran sama ada dari ketua polis daerah atau pegawai kesihatan daerah untuk keluar masuk kawasan PKPD.

"Saya telah mengarahkan semua balai terlibat untuk menguruskan permohonan pergerakan ini, namun perlu melalui tapisan ketat dan hanya permohonan daripada sektor perkhidmatan perlu yang difikirkan wajar sahaja akan diluluskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad Noor berkata, seramai 102 anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan beberapa agensi sahabat ditugaskan dalam penugasan di 13 lokaliti terbabit selama 24 jam.

"Lokaliti terlibat termasuk Tanjung Lumpur, Peramu, Kampung Anak Air, Kampung Sungai Derhaka, Kampung Kempadang, Sungai Soi, Kampung Pahang, Taman Seri Inderapura, Taman Indera Sempurna, Taman Tas dan Pandan, Sungai Isap, Lorong Seri Teruntum dan Taman Impianku.

"Sepanjang tempoh itu, laluan alternatif atau lorong tikus di kawasan terlibat ditutup bagi mengelak berlaku pergerakan keluar masuk," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Noor berkata, pihaknya akan memantau kemungkinan berlaku pelanggaran SOP pada Hari Raya Aidiladha, Selasa ini.

"Mereka yang terlibat dengan PKPD tidak dibenarkan keluar kecuali seorang untuk urusan dibenarkan sahaja. Jadi, jelas keluar rumah untuk ziarah pada Aidiladha tidak dibenarkan. Sekiranya berlaku, individu terlibat boleh dikompaun," katanya.