Kampung Tanjung Aru Baru terbakar lagi

Api merebak dan memusnahkan sebahagian rumah di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu pada awal pagi Ahad.
Api merebak dan memusnahkan sebahagian rumah di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu pada awal pagi Ahad.
A
A
A

KOTA KINABALU - Selepas dua minggu kebakaran berlaku di Kampung Tanjung Aru Baru, sekali lagi penduduk di kampung itu dikejutkan dengan kejadian sama apabila lebih 15 rumah atas air musnah terbakar pada awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, api dipercayai berpunca dari sebuah rumah sebelum merebak ke rumah lain menyebabkan lima kenderaan penduduk di kawasan itu turut terbakar sepenuhnya.

Ketua Zon I Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.32 pagi.

"Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Penampang dikerah ke lokasi kejadian dan tiba selepas kira-kira lima minit kemudian.

"Sebaik tiba di lokasi, sebanyak 15 rumah berstruktur kayu atas air telah musnah sepenuhnya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Ahad.

Beliau berkata, pasukan bomba dengan dibantu penduduk kampung bertindak memadamkan api sehingga berjaya dikawal daripada terus merebak memusnahkan lebih banyak rumah.

Anggota bomba memadamkan kebakaran membabitkan rumah atas air di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu pada awal pagi Ahad.
Anggota bomba memadamkan kebakaran membabitkan rumah atas air di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu pada awal pagi Ahad.

"Api berjaya dikawal pada jam 5.49 pagi dan operasi memadamkan saki baki api kebakaran masih berjalan.

Artikel Berkaitan:

"Api merebak terlalu cepat kerana struktur rumah yang dibina daripada kayu dan berdekatan satu dengan lain," katanya.

Hamsa berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat Unit Forensik Kebakaran.

Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Kebakaran di penempatan rumah atas air di Tanjung Aru adalah yang ketiga berlaku selepas kejadian sama pada 6 Julai dan 25 Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 rumah terbakar di Kampung Tanjung Aru Baru

ARTIKEL BERKAITAN:3 kanak-kanak, nenek lemas ketika selamatkan diri dalam kebakaran