10 rumah terbakar di Kampung Tanjung Aru Baru

Kebakaran memusnahkan 10 rumah di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu.
Kebakaran memusnahkan 10 rumah di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 10 rumah di perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru Baru, musnah dalam kebakaran, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, api dipercayai merebak dengan pantas dari sebuah rumah hingga melibatkan kediaman lain.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 7.08 pagi.

"Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Penampang bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, api didapati sedang marak sehingga memusnahkan 10 rumah berstruktur kayu atas air," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Katanya lagi, api kemudian berjaya dikawal oleh pasukan bomba dengan dibantu penduduk kampung daripada terus merebak dan berjaya menyelamatkan sebahagian rumah berdekatan.

"Api dikawal pada jam 7.58 pagi dan operasi memadamkan saki baki api kebakaran masih berjalan.

"Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat Unit Forensik Kebakaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, operasi memadam turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).