X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga dalam talian rugi RM 78,706 ditipu pelanggan

Seorang peniaga dalam talian rugi RM78,706 apabila ditipu pelanggan yang mendakwa sudah memasukkan wang ke dalam akaun banknya untuk satu pembelian pada Jumaat lalu. Gambar hiasan. Foto 123RF Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga dalam talian rugi RM78,706 apabila ditipu pelanggan yang mendakwa sudah memasukkan wang ke dalam akaun banknya untuk satu pembelian pada Jumaat lalu.

Pelanggan yang menggunakan empat nama akaun Facebook berbeza menghantar resit pembayaran kepada peniaga terbabit untuk pembelian pakaian wanita dijual secara dalam talian.

Bagaimanapun, peniaga berusia 24 tahun itu tidak melakukan semakan terlebih dahulu sebelum menyedari tiada sebarang pemindahan wang yang dilakukan empat pelanggan tersebut pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada 1 November lalu apabila mangsa menerima satu pesanan menerusi Facebook daripada suspek yang berminat untuk membeli pakaian wanita berkenaan.

Menurutnya, selepas berhubung, suspek bersetuju untuk membeli pakaian berkenaan dan mendakwa sudah membuat pembayaran dengan menghantar resit pemindahan wang yang palsu sebagai bukti.

"Pada Jumaat lalu, mangsa membuat semakan dan terdapat pengurangan wang dalam akaun banknya.

"Mangsa kemudian melakukan audit dan mendapati terdapat empat penama tidak membuat pembayaran kerana tiada rekod kemasukan wang ke dalam akaun miliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, peniaga itu mendakwa, penama pertama tidak membayar sebanyak RM40,526, selain tiga lagi masing-masing sebanyak RM22,928, RM6,372 dan RM8,940.

"Mangsa percaya bahawa seorang daripada pelanggan itu merupakan dalang dan sengaja mewujudkan akaun Facebook tiga penama tersebut bagi tujuan memperdaya dengan menunjukkan resit pembayaran palsu kepadanya.

"Semakan lanjut juga mendapati keempat-empat akaun Facebook itu mempunyai hubung kait berdasarkan alamat penghantaran barang di Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur," ujarnya.

Beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!