Pertarungan terakhir di Lembah Klang

No Image Caption
A
A
A

PENULARAN Covid-19 varian delta bukan sahaja menjejaskan Malaysia tetapi juga Thailand, Indonesia, Filipina, Myanmar dan banyak negara lain. Kini Eropah juga berhadapan serangan yang sama.

Minggu lalu, Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi 56,000 orang positif Covid-19 dalam sehari, manakala purata mingguan kematian sekitar 900 orang sehari. Ia rekod terburuk Indonesia sejak pandemik bermula Mac 2020.

Thailand turut mengalami peningkatan kes tertinggi. Minggu ini Thailand mencatatkan purata kes harian 9,000 kes dengan kematian 88 kes sehari.

Malaysia pula mencatatkan angka sekitar 12,000 kes positif sehari dengan hampir 60 peratus membabitkan Selangor dan Kuala Lumpur. Keadaan itu sangat membimbangkan kerana Lembah Klang adalah pusat segala kegiatan ekonomi utama negara. Ia seperti jantung kemajuan negara.

Lembah Klang adalah benteng terakhir perang menentang Covid-19. Di sini menentukan berjaya atau gagalnya negara kita. Jika sistem kesihatan lumpuh dan memerlukan penutupan penuh semua sektor ekonomi, negara kita mungkin mengambil masa lebih panjang untuk pulih.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKPD dan semua SOP adalah langkah pembendungan sementara. Satu-satunya strategi keluar paling utama adalah vaksinasi. Ia perlumbaan antara virus dan vaksin. Ketika Covid-19 varian Delta sedang menggila di Asia Tenggara, satu-satunya jalan keluar kita adalah vaksinasi.

Dalam ‘perang’ ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba meminta semua penduduk Lembah Klang berusia 60 tahun ke atas agar hadir secara jumpa terus (walk in) di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kuala Lumpur dan Selangor bagi mendapatkan dos pertama mereka.

Jaminan

Artikel Berkaitan:

Perlumbaan virus dan vaksin tambah menarik dengan jaminan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa kerajaan kini akan memperkenalkan beberapa mekanisme baharu bagi memastikan semua penduduk dewasa di Lembah Klang akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 1 Ogos.

Kini jumlah vaksinasi dos pertama di Selangor mencecah 30 peratus, manakala Kuala Lumpur telah melangkaui 90 peratus.

Sudah tentu ada kekecewaan rakyat di luar Lembah Klang. Namun, kerajaan perlu fokus kawasan paling kritikal demi menyelamatkan nyawa rakyat dan ekonomi negara.

Matlamat utama adalah untuk mengurangkan beban sistem kesihatan negara di Lembah Klang. Jumlah pesakit di hospital-hospital di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sudah hampir penggunaan penuh.

Justeru, dengan mempercepatkan pemberian dos pertama kepada kawasan pandemik paling kronik, kita dijangka mengurangkan beban fasiliti kesihatan menjelang pertengahan Ogos kerana mereka yang mendapat suntikan sekurang-kurangnya satu dos akan mengurangkan risiko masuk ke hospital sehingga 55 peratus.

Walaupun ketika ini fasiliti kesihatan negara masih mampu menampung pesakit Covid-19, namun kita akan berhadapan masalah jika jumlah mereka yang positif yang memerlukan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bertambah.

Jika sasaran ini berjaya, Selangor dan Kuala Lumpur mungkin boleh beralih menuju Pelan Pemulihan Negara fasa 2 pada minggu pertama atau kedua Ogos nanti.

Lembah Klang telah pun melepasi angka 10 peratus populasi mendapat suntikan dua dos – salah satu syarat untuk peralihan ke fasa 2. Namun, jumlah penggunaan katil ICU yang masih tinggi dan jumlah jangkitan sekitar 6,000 sehari merencatkan peralihan itu.

Jika keadaan di Lembah Klang dapat distabilkan, ia akan turut membolehkan negeri-negeri lain menjalani fasa pemulihan yang lebih atas berbanding sekarang.

Suara negatif pasti ada seperti mengapa tidak dilakukan lebih awal. Kerajaan gagal dan kerajaan lembab. Walaupun ramai tidak suka, saya akan terus mengulangi fakta bahawa seluruh dunia di luar Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan China berhadapan masalah bekalan vaksin.

Walaupun mereka yang mempunyai agenda akan terus menyebarkan hal-hal negatif, sama-samalah kita berdoa agar negara dapat keluar daripada kemelut pandemik ini.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)